NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ismail Sabri ada sokongan untuk bentuk kerajaan' - penganalisis


KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis politik yakin, sebuah kerajaan baharu mampu dibentuk dalam masa terdekat kerana pemimpin daripada blok Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipercayainya berupaya memperoleh sokongan mencukupi.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff, berkata beliau dimaklumkan Ismail Sabri sudah berjaya mendapat semula sokongan lapan daripada 15 Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menolak kerajaan PN.

Katanya, turut memberi sokongan kepada Naib Presiden UMNO itu ialah beberapa ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak.

"Semalam sudah dapat lapan orang daripada 15 Ahli Parlimen UMNO. Pastinya ini kurang disenangi pemimpin utama dalam UMNO seperti Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Penolakan Ahmad Zahid boleh difahami kerana ia ada kaitan langsung dengan kedudukannya sebagai Presiden UMNO yang bakal terancam. Malah saya difahamkan kepemimpinan UMNO sudah menyatakan ketidakpuasan hati kenapa ada pihak yang pandai-pandai mencari akuan bersumpah (SD) tanpa keputusan parti.

"Saya tak rasa itu suatu masalah untuk Ismail Sabri mendapat bilangan majoriti mencukupi walaupun tidak sebulat suara dari ahli-ahli Parlimen UMNO kerana difahamkan sudah ada yang dari Sabah dan Sarawak bersedia memberi sokongan," katanya kepada BH, hari ini.

Persaingan mengisi jawatan Perdana Menteri bermula apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman, berkata beliau juga menerima maklumat bahawa pencalonan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin telah dicapai dalam kalangan pemimpin tertinggi PN, namun tidak diumumkan secara rasmi.

Beliau menyifatkan ahli Parlimen dari UMNO yang masih enggan memberi sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu juga, sudah ketiadaan hujah relevan kerana mereka dari parti yang sama.

"Kalau tak bersetuju lagi apabila calon Perdana Menteri datangnya daripada UMNO, mereka nak apa sebenarnya," soal beliau.

Beliau percaya, Ahli Parlimen yang tidak bersetuju itu mungkin khuatir tidak mendapat watikah untuk bertanding semula sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak kerana ia perlu ditanda tangan oleh Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Kebimbangan untuk tidak diberi watikah calon dalam PRU 15 tidak patut jadi masalah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, pemimpin BERSATU juga sudah membuat keputusan memberi mandat kepada Muhyiddin untuk membuat keputusan berhubung pendirian parti itu kepada Ismail Sabri.


Sumber | Bharian

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo