Responsive Ad Slot

Insiden tembakan: Panglima Tentera Udara zahir ucapan takziah



KUALA LUMPUR - Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad menzahirkan ucapan takziah kepada waris empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam insiden tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan Sarawak pada Jumaat.

Menurut kenyataan, Ackbal menemui waris empat anggota TUDM itu di Pergerakan Udara Pangkalan Udara Kuching.

“Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga kesemua anggota TUDM yang meninggal dunia dan turut menyampaikan sumbangan dari Tabung Kebajikan TUDM dan sumbangan bantuan kebajikan kepada waris terlibat.

“Semoga keluarga reda dan sabar dengan ujian yang menimpa dan pihak TUDM sedang membuat segala urusan berkaitan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris anggota,” katanya.

Ackbal juga telah berada di lokasi kejadian untuk mengetahui dan meninjau dengan lebih jelas insiden berkenaan.

Dalam insiden kejadian tembakan yang berlaku kira-kira jam 7.15 pagi, empat anggota TUDM maut. Mereka adalah Koperal Udara (Kpl U) Mohammad Ehsan Sehamat, Kpl U Ho Swee Boon dan Laskar Udara Kanan (LUK) Nesly Nabau meninggal dunia di tempat kejadian.

Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli pula meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan, Sarawak ketika mendapatkan rawatan akibat kecederaan parah.

Waris kesemua anggota berkenaan telah dimaklumkan mengenai kematian mereka melalui pihak pengurusan TUDM di Pangkalan Udara Kuching.

Allahyarham Kpl U Mohammad Ehsan berasal dari Asajaya Laut, Samarahan

Mendiang Kpl U Swee Boon berasal dari Bau; Allahyarham Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al Attas berasal dari Seniawan, Bau dan mendiang LUK Nesly Nabau berasal dari Sibu.

Pihak TUDM telah menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

TUDM juga meminta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh PDRM selesai di samping menghormati sensitiviti waris dan keluarga anggota yang meninggal dunia.






............oo000oo...........
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo