Responsive Ad Slot

GPS tak sokong Shafie jadi PM realistik - Penganalisis

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
KOTA KINABALU: Tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak menyokong Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri kesembilan disifatkan penganalisis sebagai realistik.

Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata dakwaan GPS melepaskan peluang untuk mengangkat Perdana Menteri dari Borneo adalah tidak berasas.

"Macam mana mahu katakan ia suatu kerugian jika idea itu tidak logik dan kita semua tahu tiada kemungkinan? Tidak logik sebuah parti yang hanya mempunyai lapan kerusi dapat menjadi Perdana Menteri meskipun dengan sokongan daripada Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

"Siapa-siapa yang ingin menjadi Perdana Menteri perlu mempunyai sokongan majoriti mudah dalam kata lain 111 Ahli Parlimen. Kita harus berpijak di bumi nyata.

"Mana-mana individu dari Sabah yang ingin menjadi Perdana Menteri harus membuktikan yang dirinya sudah mendapat sokongan majoriti daripada Semenanjung yang mana jumlah kerusinya adalah jauh lebih banyak daripada Sabah (25) dan Sarawak (31) yang jumlahnya hanyalah 56 kerusi," katanya kepada BH.

Selain itu, Kuok Tiung berkata GPS tidak memerlukan mana-mana ahli politik mahupun parti sebagai 'orang tengah' untuk berunding dengan mana-mana jajaran parti politik.

"Tidak masuk akal GPS dengan 18 Ahli Parlimen mahu menyokong seorang calon dari parti yang jumlah Ahli Parlimennya jauh lebih kecil daripada GPS untuk menjadi Perdana Menteri.

"Lebih baik parti yang lebih kecil itu tampil dengan cadangan calon Perdana Menteri dari GPS," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Musli Oli turut berpendapat GPS bersikap realistik dengan tidak mencalonkan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri walaupun kedua-duanya berasal dari Borneo.

"GPS sebenarnya realistik. Menyedari bahawa parti politik dari Sabah juga tidak secara 'en-bloc' menyokong Mohd Shafie untuk dipilih menjadi Perdana Menteri.

"Pada masa yang sama juga, menurut pemimpin GPS mereka berpegang pada prinsip 'Tiada DAP' yang mana jika menyokong Mohd Shafie, ini bermakna mereka mengangkat kedudukan DAP dalam kerajaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Shafie gagal dalam usahanya untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi mewakili blok pembangkang selepas gagal menarik sokongan GPS.

Susulan itu, difahamkan Mohd Shafie bersama tujuh lagi Ahli Parlimen WARISAN mengambil pendirian menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan"

Sumber | Bharian
 


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo