NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gelora di Laut China Selatan angkara AS dan China


Oleh Ku Seman Ku Hussain

LAUT China Selatan terus bergelora. Terbaru, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menyelar tuntutan China ke atas Laut China Selatan sebagai provokasi melampau. Kedua-dua kuasa besar itu mempunyai kepentingan geopolitik dan ekonomi untuk menguasai laluan utama pengangkutan laut antara timur dan barat.

Duta Besar China di AS, Dai Bing, segera membalas kenyataan Blinken dengan tuduhan lebih keras bahawa AS sebenarnya yang menjadi ancaman terbesar terhadap kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan.

Sebenarnya bukan menjadi rahsia lagi kedua-dua pihak, AS dan China menggunakan semua kesempatan dan pendekatan untuk menguasai Laut China Selatan. Malah kedua-duanya sudah beberapa kali mengugut dengan memperagakan aset-aset ketenteraan di Laut China Selatan.

Misalnya pada 12 Julai, kapal pemusnah peluru berpandu USS Benfold milik AS telah menceroboh masuk dalam perairan China di Xisha. Ini disifatkan sebagai provikasi kepada China berikutan konflik Laut China Selatan yang kembali memuncak sejak sebulan lalu.

China kelihatan lebih tegas dengan provokasi AS. Kedua-dua kuasa besar ini sentiasa berdepan dengan hubungan diplomatik yang pasang surut dan penuh konflik. Ini menjadikan Laut China Selatan yang menjadi pusat maritim terbesar Asia sentiasa bergelora.

Kedua-duanya mendakwa mempunyai hak terhadap Laut China Selatan kerana kedudukan yang strategik sebagai laluan perdagangan, hasil bumi dan ketenteraan. China yang terletak kira-kira 2,000 batu nautika dari Laut China Selatan tetap mendakwa hak daripada segi sejarahnya pada abad ke 15.


Putar belit China juga tidak kurang hebatnya kerana mengambil pendekatan niat menghalalkan cara. Niat mereka untuk menguasai laluan perdagangan antara timur dan barat dengan menghalalkan cara yang bertentangan undang-undang antarabangsa. Bayangkan jarak lebih 2,000 kilometer pun masih dalam perairan China.

Bagaimanapun dakwaan China ini ternyata bertentangan dengan Konvensyen PBB Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS). Konvensyen ini antara lain menggariskan sesebuah negara hanya boleh memiliki kawasan laut sejauh 200 batu nautika (Exclusive Economic Zone) dari perairan negara.

Spratly Island misalnya sebelum ini adalah gugusan pulau kecil yang tidak berpenghuni. Bagaimanapun telah diceroboh oleh China dan membina tujuh pusat ketenteraan yang dipanggil The Cabbage Strategy bertujuan melindungi kawasan tersebut. Hakikatnya pulau-pulau itu bukan milik China tetapi komunis tidak peduli dengan kritikan antarabangsa.

AS pula mahu menguasai Laut China Selatan untuk mengimbangi kuasa dagang China. Ini kerana satu pertiga daripada perdagangan perkapalan dunia atau AS$3.37 trilion perdagangan antarabangsa dibawa melalui Laut China Selatan. Selain hasil bumi, Laut China Selatan juga sangat strategik sebagai pangkalan ketenteraan.

Lebih kurang dua tahun lalu China melancarkan provokasi apabila menghantar kapal penyerang Haiyang Dizhi 8. Kehadiran kapal ini bersama sepuluh kapal peronda Pengawal Pantai China (CCG) telah mengganggu dan mengancam kegiatan penggalian minyak dan gas oleh kapal Eksplorasi dan Penggalian West Capella yang disewa Petronas.

AS menyahut provokasi China dengan menghantar kapal penyerang, Amfibia (LHA) milik tentera laut AS ke Laut China Selatan. Kapal itu dikatakan berada pada kedudukan 100 batu nautika sahaja dengan kapal yang disewa Petronas. AS telah menghantar isyarat kepada China dan keadaan waktu itu sangat tegang.

Kedua-dua kuasa besar tidak mungkin bertolak ansur. Laut China Selatan adalah kuasa dan kekayaan. Kerana itu dua kuasa besar itu tidak mempedulikan semua undang-undang antarabangsa yang menghalang mereka memiliki Laut China Selatan.


Negara-negara yang berperairan Laut China Selatan yang lebih layak terpaksa berdiam diri. Malaysia, Vietnam, Thailand, Taiwan dan Brunei lebih hampir berbanding China yang secara geografinya terpisah jauh dan asing. Sempadan perairan antarabangsa negara-negara ini adalah Laut China Selatan.

Bagaimanapun disebabkan dua kuasa besar ini berkepentingan, mereka melanggar semua undang-undang termasuk oleh badan dunia seperti PBB. Ini tidak menghairankan kerana PBB berada bawah kawalan kuasa besar. Tarikan nilai ekonomi di pusat maritim terbesar itu membuatkan tidak ada pihak yang mahu mengalah.

Selain menjadi laluan perdagangan kapal yang bernilai AS$3.37 trilion, Laut China Selatan menjadi laluan pada 80 peratus import minyak China melalui Selat Melaka dan Indonesia. Bayangkan kalau Laut China Selatan jatuh ke tangan AS. China bukan sahaja kalah dalam perang geopolitik, tetapi terpaksa membayar cukai yang tinggi untuk menggunakan Laut China Selatan.

Pihak berkuasa tenaga AS menganggarkan Laut China Selatan menyimpan sekurang-kurang 11 bilion tong minyak dan 190 trilion meter cubic gas asli. Malah ada anggaran lain mencatatkan jauh lebih banyak daripada itu. Semua ini membuatkan masing-masing berebut menguasai kawasan tersebut.

Fakta lain yang tidak kurang menariknya ialah Laut China Selatan membekalkan sebanyak 10 peratus hasil perikanan dunia dan boleh menampung permintaan makanan beratus juta manusia.

Ketika seluruh dunia bergelut dengan wabak Covid-19, AS dan China terus ‘berperang’. Tidak lama dulu Presiden AS, Donald Trump menyebut Covid-19 sebagai ‘virus China’. Baru-baru ini Presiden Joe Biden pula muncul dengan ‘Doctrine Biden’ yang menjadikan China sasaran AS. Banyak yang akan dilakukan AS untuk menekan China. Pencerobohan di perairan Xisha baru-baru ini salah satu daripada kekerasan Joe Biden kepada China.

Ketegangan sudah mencapai tahap yang sangat membimbangan negara-negara yang berperairan dengan Laut China Selatan. Ini satu isyarat berlakunya perang yang mengundang kerosakan besar dan Laut China Selatan menjadi medan tempur ‘perang dunia ketiga.’ (Utusan Malaysia 16 Ogos 2021)


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo