NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP jangan hendak hak orang, hak sendiri digenggam


MELIHAT kepada beberapa kenyataan akhbar oleh pimpinan Kerajaan DAP Pulau Pinang dan kenyataan media oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu jelas sekali Kerajaan Pulau Pinang dilihat cuba mencampuri hal ehwal Kedah.

Hal ini adalah berpunca daripada kepentingan sumber air dari Sungai Muda kepada Pulau Pinang iaitu dalam lingkungan 80 peratus daripada bekalan air untuk seluruh negeri.

Empangan Teluk Bahang, Empangan Air Itam, Pusat Tadahan Air Titi Kerawang dan sumber yang lain dibahagian pulau tidak dapat menampung permintaan air, bahkan bekalan air dibahagian pulau ditampung oleh saluran air dari sebelah Seberang Prai.

Kegunaan air di bahagian Seberang Prai pula sangat bergantung kepada sumber air dari Sungai Muda.

Apa yang kita lihat, sikap pimpinan kerajaan negeri daripada DAP itu lebih sibuk berpolitik daripada menjalankan tanggungjawab terhadap kebajikan rakyat iaitu menguruskan kepentingan sumber air.

Adalah sangat tidak bertanggungjawab pimpinan kerajaan dan agensi kerajaan negeri berterusan mencetuskan kontraversi dengan Kerajaan Negeri Kedah. Sikap keras kepala pemimpin Kerajaan DAP itu dilihat menimbulkan polemik yang semakin tegang.

Perundingan Kerajaan dengan kerajaan sepatutnya diadakan demi masa depan survival air untuk rakyat negeri ini. Perundingan perlu dilakukan supaya kepentingan dan kebajikan rakyat dapat dijaga.

Sepatutnya Kerajaan Pulau Pinang merasa terhutang budi dengan Kerajaan Kedah dalam hal bekalan air mentah ini dan meraikan tuntutan royalti dari Kerajaan Kedah sebagai balasannya.

Begitu juga isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dilihat begitu seakan memberikan ancaman kepada pihak Kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap kesan masa hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas itu.

Sepatutnya isu ini dilihat secara positif dan bersiap untuk mengurus persaingan secara sihat dengan inovatif oleh Kerajaan Pulau Pinang.

Selain itu, apa yang perlu dilihat ialah segala permasalahan yang dihadapi selama ini oleh pengguna atau pihak berkepentingan yang berurusan dengan Lapangan Terbang Bayan Lepas itu berhubung masalah kesesakkan jalan raya di dalam Pulau dan Seberang Prai terutamanya di Jambatan Pulau Pinang dan di kawasan Seberang Jaya. itu ditanganinya dengan kesungguhan.

Adalah sangat wajar KXP diwujudkan bagi memberikan khidmat kepada penduduk di selatan Kedah dan Perak. Begitu juga sektor perkilangan yang beroperasi di sebelah sana. Usah ada perasaan hasad dengki terhadap kewujudan KXP itu.

Kenyataan mengenai kewujudan sektor perkilangan dipinggir Sungai Muda itu dikatakan bakal mencemarkan sungai itu sepatutnya tindakan Kerajaan Pulau Pinang ialah berhubung dengan agensi kerajaan seumpama Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang bertanggungjawab, daripada terus menerus menyerang dan menimbulkan ketegangan.

Sikap Pemimpin DAP dilihat dalam kenyataan akhbar atau media terdahulu sering memperlekeh Kerajaan Kelantan kerana tidak maju dan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, begitu juga mereka dengan sikap bongkak dengan kemajuaan yang sedia ada, sehingga memperkecilkan pihak lain.

Sikap tidak sedarkan diri itu seolah-olahnya menafikan bahawa selama ini, Pulau Pinang sangat bergantung harap ihsan bekalan air Sungai Muda yang berpunca dari negeri Kedah itu sangatlah dikesali. Sebab itu tak payahlah berdengki dengan pihak Kerajaan Negeri Kedah yang ingin membawa kemajuan kepada negeri mereka.

Bercakap tentang respon oleh Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang terhadap kemungkinan berlaku implikasi buruk projek KXP itu, sepatutnya mereka perlu menoleh kepada negeri sendiri terlebih dahulu yang masih gagal sehingga kini iaitu mewartakan kawasan tadahan air.

Juga melihat kesan kerosakan penuh ekosistem laut seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap projek gajah putih PSR di selatan Pulau Pinang, isu pencemaran najis babi Sungai Kereh, di Tasik Gelugor yang belum diselesaikan dan kegagalan operator air Sungai Dua, Tasik Gelugor yang melakukan pencemaran iaitu dengan melepaskan sisa kelodak selut ke dalam sungai berhampiran.

Perpatah ada menyebut “Sebelum duduk janganlah berlunjur”, jadi sebelum kritik hal orang lain, tengoklah diri sendiri. Jangan jadi seperti pepatah “Dalam genggam tangan orang kita nak, sedangkan tangan sendiri genggam tak tirih”. Hak orang kita mahu tetapi royalti tetap tak mahu beri.

Hal inilah sebenarnya perlu diurus oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang daripada terus menerus menyalah pihak lain. Sikap sebegitu sama sikapnya dengan golongan Kapitalis yang wajib ditolak demi keharmonian negeri dan negara kita.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang
26 Ogos 2021 


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo