NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

China laksana saringan COVID-19 besar-besaran babit jutaan penduduk

China melaksanakan saringan COVID-19 besar-besaran membabitkan jutaan penduduk. - Foto AFP
BEIJING: Beberapa bandar China melaksanakan saringan besar-besaran membabitkan jutaan penduduk dan melaksanakan sekatan perjalanan baharu, ketika pihak berkuasa bergelut mengekang penularan COVID-19 terbesar dalam tempoh beberapa bulan.

China hari ini merekodkan 75 kes baharu dengan 53 penularan tempatan, manakala satu kluster berkait dengan sebuah lapangan terbang di timur negara itu yang kini menular ke lebih 20 bandar dan 12 wilayah.

Secara geografi, penularan itu adalah yang terbesar di China dalam tempoh beberapa bulan selepas negara itu berjaya mengawal pandemik itu dalam sempadannya tahun lalu.

Namun, kejayaan itu mungkin tidak kekal lama selepas varian Delta yang sangat mudah berjangkit, menerobos lapangan terbang Nanjing di wilayah Jiangsu, bulan lalu.

Insiden itu memaksa pihak berkuasa menjalankan tiga siri saringan terhadap 9.2 juta penduduk di bandar itu dan melaksanakan perintah berkurung kepada ratusan ribu penduduk, dalam usaha mengawal penularan, yang didakwa berpunca daripada varian Delta dan musim puncak pelancong.

Pihak berkuasa bergelut mengesan individu yang bergerak dari Nanjing atau Zhangjiajie, bandar pelancongan di wilayah Hunan yang melaksanakan perintah berkurung terhadap semua 1.5 juta penduduknya serta menutup kawasan tarikan pelancong.

Pihak berkuasa memaklumkan, kes baharu turut dilaporkan hari ini di pulau Hainan, yang juga lokasi pelancongan popular, selain di wilayah Ningxia dan Shandong.

Pada masa sama, China juga sedang bergelut dengan lonjakan kes berlainan di bandar Zhengzhou di wilayah Henan yang dilanda banjir, selepas dua pekerja pembersihan di sebuah hospital yang merawat pesakit COVID-19, dikesan positif.

Sejumlah 27 kes penularan tempatan dikesan, dengan pihak berkuasa mengarahkan saringan besar-besaran terhadap semua 10 juta penduduk bandar itu, hari ini, manakala ketua suruhanjaya kesihatan bandar itu dipecat. - AFP

Sumber :  bharian.com.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo