Responsive Ad Slot

Beberapa Pemimpin PN Tiba di Perdana Putra

11 OGOS: Beberapa pemimpin parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mulai tiba di bangunan Perdana Putra yang difahamkan bagi menghadiri perjumpaan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang ini.

Antara kepimpinan parti yang telah memasuki kompleks berkenaan ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada jam 3.40 petang, disusuli Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kira-kira 10 minit kemudian.

Pada jam 4.56 petang, kenderaan membawa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga dilihat tiba.

Beberapa kenderaan mewah bercermin gelap termasuk sebuah kenderaan mempunyai plat Timbalan Menteri juga dilihat memasuki bangunan kerajaan itu, namun tidak diketahui penumpangnya.

Terdahulu, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) kira-kira jam 5 petang tadi.

Sumber daripada beberapa pemimpin komponen PN mengesahkan perjumpaan khas tersebut dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri.

Walaupun mengesahkan pertemuan tersebut, namun masing-masing enggan mengulas mengenai agenda yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan politik semasa tanah air.

Muhyiddin juga dijangka mengadakan mesyuarat khas bersama pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dari Sabah dan Sarawak.

PN dianggotai oleh PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Maju Sabah (SAPP) selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU manakala MCA dan MIC yang menyertai gabungan itu menerusi Barisan Nasional (BN) dijangka turut menghadiri perjumpaan itu.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo