NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perjumpaan khas Perikatan Nasional di Putrajaya, petang ini




PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) petang ini.

Beberapa pemimpin komponen PN yang dihubungi, mengesahkan perjumpaan khas yang dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 5 petang ini.

Walaupun mengesahkan pertemuan itu, namun masing-masing enggan mengulas mengenai agenda yang dipercayai ada kaitan dengan perkembangan politik semasa tanah air.

Pagi tadi, Perdana Menteri dilaporkan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Pada petang Rabu minggu lalu, Muhyiddin mengumumkan yang kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dengan mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin dilaporkan turut memaklumkan perkara itu kepada Al-Sultan Abdullah, ketika sesi menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada sebelah pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet


Ia susulan warkah daripada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan lapan Ahli Parlimen daripada UMNO ada menulis surat kepada baginda bahawa mereka menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Muhyiddin turut dilaporkan menyembah maklum kepada Seri Paduka untuk membentangkan usul undi percaya, pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan September ini, bagi menentukan keabsahan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan langkah itu sudah diperkenankan oleh baginda.

Selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PN turut dianggotai PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

MCA dan MIC menyertai gabungan itu menerusi Barisan Nasional (BN) dijangka turut menghadiri perjumpaan pada petang ini.

Walaupun UMNO membuat keputusan menarik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin dan PN, tetapi 31 Ahli Parlimennya diketuai Timbalan Perdana, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan mengekalkan sokongan kepada PN sehingga usul keabsahan dibentang di Parlimen, bulan depan.

Ahad lalu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, dilaporkan berkata, parti itu akan menunggu keputusan perbincangan di peringkat BN susulan UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Minggu lalu, dua menteri dari UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad masing-masing sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan peletakan jawatan, susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos, yang sebulat suara menarik sokongan kepada PN.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/849873/perjumpaan-khas-perikatan-nasional-di-putrajaya-petang-


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo