Responsive Ad Slot

Ahli politik harus pamer watak negarawan depani pandemik




KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen harus mempamerkan watak negarawan dengan mengenepikan seketika kemelut politik dan turut sama fokus membantu rakyat mendepani krisis kesihatan akibat Covid-19 ketika ini.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) , Dr Ilyas Abdullah berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan satu langkah peralihan yang dibentangkan oleh kerajaan bagi membawa negara keluar daripada cengkaman pandemik.

“Pelan ini menggariskan beberapa halatuju melibatkan pembukaan sektor perkhidmatan, sosial dan juga ekonomi secara beransur-ansur (soft landing).

“Kelonggaran yang diumumkan kerajaan adalah berdasarkan kepada petunjuk tertentu seperti kadar vaksinasi yang akan mempengaruhi kadar kes harian dan kapasiti wad di unit rawatan rapi (ICU) di hospital awam.

“Walau bagaimanapun, Pelan Pemulihan Negara sukar dicapai sekiranya ahli-ahli politik lebih sibuk mencatur strategi politik,” katanya, ketika dihubungi HarakahDaily, semalam.

Menurut beliau, persidangan khas Dewan Rakyat juga (dilihat) gagal dimanfaatkan sebaiknya bagi membincangkan isu-isu yang lebih mendesak.

“Pengumuman pembatalan ordinan darurat yang belum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebaliknya lebih mendapat perhatian ahli dewan rakyat sekaligus menggamatkan dewan.

“Ahli dewan rakyat seharusnya bekerjasama bagi menjayakan suatu perbahasan yang benar-benar boleh membantu kerajaan merangka strategi baru mendepani pandemik Covid-19,” katanya.

Namun, di sebalik PPN yang sedang dirangka kerajaan, kata Ilyas, Umno pula berulang-kali bertegas untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Umno yang sebahagian daripada ahlinya turut menganggotai Kabinet Kerajaan turut diarahkan untuk meletakkan jawatan atau bakal berdepan tindakan disiplin daripada parti.

“Berikutan itu, Menteri Pengajian Tinggi telah bertindak melepaskan jawatannya sekaligus meninggalkan sektor pendidikan tinggi negara tanpa nakhoda.

“Sektor pendidikan tinggi juga berdepan dengan impak yang teruk berikutan pandemik Covid-19.

“Tekanan yang dihadapi oleh pelajar dan para pensyarah serta kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) menuntut kerajaan untuk merangka satu dasar yang jitu dan bukannya membiarkannya tanpa halatuju.

“Tindakan tidak negarawan tersebut sangat mendukacitakan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Ilyas, penarikan sokongan Umno terhadap kerajaan PN juga bakal memposisikan landskap politik negara dalam keadaan tergantung kerana tiada parti politik yang benar-benar mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Katanya, Umno juga bertegas tidak akan menjalinkan sebarang hubungan politik dengan PKR dan DAP sepertimana ucapan Presidennya ‘No Anwar, No DAP’ sebelum ini.

“Pelantikan Perdana Menteri bakal sekali lagi ditentukan dengan persetujuan ahli dewan rakyat untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru persoalannya siapakah yang akan menganggotai barisan kabinet kerajaan baru dan sejauh mana ahli-ahli parlimen tersebut mampu bersepakat untuk mentadbir atau negara sekali lagi bakal berdepan dengan krisis politik yang tidak menguntungkan rakyat?

“Selain itu, adakah Umno bersedia untuk kembali menjadi pembangkang di Dewan Rakyat?

“Tindakan Umno juga boleh memberikan impak kepada kestabilan politik di peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ilyas, Sultan Johor dengan tegas bertitah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika berlaku keadaan yang boleh menjatuhkan kerajaan negeri tersebut.

Kata beliau, sekiranya percaturan politik negara ditentukan melalui tawar-menawar politik dan perhitungan akuan bersumpah untuk membentuk kerajaan, maka kemelut politik negara ini tidak akan berkesudahan.

Kuasa membentuk kerajaan harus dikembalikan semula kepada rakyat melalui pilihan raya selaras dengan prinsip ‘dari rakyat untuk rakyat’, ujarnya lagi.

“(Namun), sekiranya percaturan politik negara ditentukan melalui tawar-menawar politik dan perhitungan akuan bersumpah untuk membentuk kerajaan, maka kemelut politik negara ini tidak akan berkesudahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/08/13/ahli-politik-harus-pamer-watak-negarawan-depani-pandemik/

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo