Responsive Ad Slot

Ahli akademik kecam gesaan mahu Agong buat keputusan luar Perlembagaan

Profesor Wong Chin Huat, Institut Jeffrey Cheah, University Sunway
Seorang pakar sains politik membidas mereka yang meletakkan kriteria kepada Agong untuk memilih perdana menteri yang baru ketika pelbagai gesaan daripada pemimpin pembangkang dan penyokongnya mempersoalkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob bagi jawatan tersebut.

Wong Chin Huat dari Jeffrey Cheah Institute di Universiti Sunway berkata Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan pilihan Agong harus berdasarkan kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Jangan gunakan alasan lemah kononnya situasi ketika ini adalah luar biasa yang memerlukan langkah luar biasa,” kata Wong dalam sebuah kenyataan hari ini.


“Jika anda boleh langgar undang-undang kali ini yang katanya situasi luar biasa, nanti kemudian orang lain pun langgar undang-undang bagi situasi yang mereka fikir luar biasa juga.”

Ulasan beliau itu tampil ketika penyokong pembangkang menggunakan media sosial dan petisyen dalam talian bagi menggesa “kerajaan perpaduan” ditubuhkan yang turut melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan adalah antara yang berkempen seumpama itu dan turut mempersoalkan kesahan sokongan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Ismail, selepas gabungan itu menegaskan sokongan dengan syarat tiada ahli politik yang terlibat pertuduhan rasuah dilantik dalam pentadbiran kerajaan yang baru.

Selasa lalu, MalaysiaNow memetik sumber dalaman PKR yang mengatakan calon perdana menteri pembangkang Anwar Ibrahim sedang berusaha supaya “kerajaan perpaduan” ditubuhkan selepas jelas gabungan itu gagal mengumpul sokongan yang cukup daripada ahli-ahli Parlimen.

‘Jangan ikut peraturan hanya apabila ia sesuai dengan anda’

Wong berkata Perlembagaan memperuntukkan Agong untuk melantik ahli Parlimen yang pada hematnya memiliki sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Ia tidak membenarkan Agong pilih pemimpin paling bagus.

“Mahu minta Agong pilih pemimpin terbaik pada mata seseorang walaupun tidak memiliki sokongan majoriti adalah satu perkara yang menggugat demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” tambahnya.

Beliau turut berkata pencarian perdana menteri baru susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin minggu ini menguji sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam negara.

Beliau berkata sebarang perbahasan yang mencadangkan Agong untuk melakukan perkara di luar peruntukan Perlembagaan kepada beliau adalah menyimpang daripada prinsip raja berperlembagaan yang mengehadkan kuasa Agong.

“Kita perlu junjung proses sepautnya walaupun ia kemudian tidak jadi seperti apa yang kita suka.

“Integriti bukannya patuh undang-undang hanya apabila ia sesuai dengan kita,” kata Wong.


Sumber : MN



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo