Responsive Ad Slot

11 aktiviti ekonomi dibenar kembali beroperasi esok


KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran berkuatkuasa 16 Ogos (esok) melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu diberi setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan setelah berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sektor-sektor berkepentingan.

Tambahnya, aktiviti ekonomi itu ialah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)

Advertisement

Katanya, bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) terdapat SOP-SOP kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

“Ia termasuklah memakai sarung tangan, menghadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan fitting room.

“SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” ujarnya dakam satu kenyataan media berhubung kemudahan sektor ekonomi, hari ini.

Tambahnya, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula itu juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” katanya.

Menurutnya, seperti beliau nyatakan sebelum ini, kerajaan menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa mempertimbangkan kemudahan-kemudahan lain dengan memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat; ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan; serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan faham bahawa banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri.

Menurutnya, kerajaan sedar, semakin lama perkara ini dihadkan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat.

“Kerajaan juga melihat bahawa amat penting untuk sektor ekonomi kembali dibuka secara berperingkat kerana jika tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang diumumkan itu akan terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu- individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.

Sebagai contoh, ujar beliau sehingga 14 Ogos (semalam), kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus.

“Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuatkuasa.

“Perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam waktu terdekat,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga bersetuju membenarkan 11 aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran untuk kembali beroperasi di dalam Fasa 2 berkuatkuasa esok.

Katanya, kesemua 11 aktiviti ekonomi itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.

Jelasnya, aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut ialah kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati, kedai antik, kedai alat permainan, kedai permaidani, kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif, kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi dan kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik);

Beliau berkata, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula itu juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Menurutnya, pada 8 Ogos yang lalu, beliau telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Katanya, kemudahan-kemudahan itu termasuklah rentas negeri atau daerah bagi pasangan jarak jauh, anak jarak jauh bagi Fasa 1 PPN dan rentas daerah, dine-in dan aktiviti sukan outdoor bagi negeri-negeri di dalam Fasa 2 PPN dan seterusnya.

“Saya juga ambil maklum ada pengusaha-pengusaha kedai makan telah memaparkan maklumat berhubung bilangan pekerja yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk membantu pelanggan memilih premis yang ingin dikunjungi,” ujarnya.

Tambahnya, ada juga pemilik premis yang mahu menunggu sehingga semua pekerjanya lengkap vaksinasi sebelum memulakan aktiviti dine-in bagi mewujudkan persekitaran premis yang lebih selamat.

Beliau berkata, perkembangan yang diperhatikan itu selari dengan saranan beliau pada 8 Ogos iaitu supaya rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap dapat membuat pertimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus Covid-19 biarpun kerajaan telah membenarkan beberapa bentuk kemudahan.

“Namun saya juga sedar bahawa ada yang kecewa kerana tidak berpeluang memanfaatkan kemudahan yang diumumkan terutama penduduk di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Walaupun kekecewaan ini amat saya fahami, tetapi setiap keputusan untuk memberikan kemudahan-kemudahan ini mesti dibuat dengan berhati-hati dan mengambil kira negara kita masih berada di dalam situasi pandemik,” ujarnya lagi. 

– HARAKAHDAILY 15/8/2021


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo