NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teroka tanah: PAS Pahang berdiri teguh bersama MB

KUALA LUMPUR: PAS Pahang berdiri teguh bersama Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Jabatan Perhutanan negeri dengan ketegasan menangani isu penerokaan tanah secara haram.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Menteri Besar bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang meneroka mana-mana tanah di negeri itu secara haram.

Katanya, tindakan yang diambil oleh pihak Jabatan Perhutanan negeri bersama-sama agensi kerajaan negeri yang telah menjalankan operasi memusnahkan kebun haram durian yang telah diusahakan oleh pekebun di sekitar daerah Raub yang turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tertumpu di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam dengan anggaran keluasan 250 ekar dilihat sangat wajar.
Advertisement

“PAS Pahang mengharapkan ketegasan ini berterusan dan tindakan yang sama dilakukan ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira status dan bangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, PAS Pahang sangat yakin bahawa tindakan itu akan dapat membanteras aktiviti penerokaan haram tanah di Pahang terutama melibatkan kawasan HSK pada masa yang akan datang demi manfaat rakyat dan negeri itu sendiri.

“Tiada siapa yang dapat melebihi undang-undang. Oleh kerana itu, PAS Pahang berdiri teguh bersama Menteri Besar dan pihak Jabatan Hutan dengan ketegasan menangani isu ini,” katanya yang juga Adun Tanjung Lumpur.

Jabatan Perhutanan negeri dalam kenyataan akhbar kelmarin memaklumkan operasi memusnahkan kebun durian haram yang melibatkan kawasan seluas 101.171 hektar dalam HSK Batu Talam berdepan provokasi pihak terlibat menyebabkan mereka merekodkan video dan membuat laporan polis.

Kenyataan itu menambah, operasi itu tertumpu kepada tindakan memusnahkan kesemua tanaman durian yang ditanam secara haram dan tangkapan serta sitaan barang serta kenderaan akan dibuat terhadap mereka yang masuk ke kawasan HSK tanpa kebenaran.

Menurut JPNP, operasi itu tidak melibatkan kawasan seluas 2,167 hektar di sekitar Raub yang menjadi subjek dalam kes mahkamah yang belum selesai antara 110 pekebun dengan enam pihak termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 6/7/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/06/teroka-tanah-pas-pahang-berdiri-teguh-bersama-mb/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo