NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tak pakai pelitup muka dalam Parlimen, Tajuddin di kompaun lagi



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, hari ini dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di bangunan Parlimen, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kompaun dikeluarkan selepas jam 10 pagi tadi, selepas polis mengesan satu gambar dimuat naik seorang pengguna Twitter menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka.

"Siasatan mendapati beliau (Tajuddin) menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

"Kira-kira jam 2.30 petang pada hari sama, beliau didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada bersama seorang individu lain di ruang legar Parlimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, satu notis kompaun dikeluarkan polis ke atas Tajuddin pada jam 1 tengah hari tadi, dan nilai kompaun akan diputuskan oleh pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Eng Lai berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Menerusi hantaran di Twitter itu, BH mendapati rata-rata netizen mengecam sikap Tajuddin yang gagal mematuhi SOP pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Semakan BH mendapati hantaran di Twitter itu setakat ini diulang ciap sebanyak 6,778 kali dengan 798 komen dan mendapat 9,474 tanda suka.

Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebelum ini dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan sama sebelum ini iaitu memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, di sini, 25 Mei lalu.

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo