NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Olimpik : Lee Chong Wei mohon maaf, gagal sumbang emas untuk Malaysia

KUALA LUMPUR: Sempena pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini, bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal menghadiahkan pingat emas yang diharapkan di temasya terbesar dunia itu sepanjang kerjayanya.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Chong Wei berkata, dia sudah berjuang bermati-matian bagi memenangi emas sulung Olimpik buat kontinjen Malaysia tetapi rezeki tidak memihak kepada dirinya selepas tiga kali kecundang di pentas final edisi 2008 di Beijing, 2012 di London dan 2016 di Rio de Janeiro.

Katanya, selepas penampilan pertama di Olimpik Athens 2004 yang menyaksikan dia tewas di pusingan kedua, bekas pemain nombor satu dunia itu memberitahu yang dia bertekad untuk meraih emas selepas melihat aksi rakan baiknya dari Indonesia, Taufik Hidayat yang bermati-matian berjuang untuk muncul juara pada edisi berkenaan.

"Di Greece, Chong Wei tidak beraksi dengan cemerlang. Berjaya menewaskan pemain Hong Kong Ng Wei di pusingan pertama tetapi kalah di pusingan kedua kepada Chen Hong.

"Temasya itu Malaysia pulang tanpa sebarang pingat. Masa itu, penerimaan kekalahan masih OK lagi. Sebab minda tahu, masih ada kejohanan lain boleh menang.

"Tetapi 'turning point' Chong Wei adalah apabila saya tengok perlawanan akhir kawan baik saya, Taufik melawan Seung Mo. Tidak pernah saya tengok Taufik main sebegitu mati-matian! Lagilah tak pernah tengok Pak Taufik menitis air mata sebegitu di gelanggang.

"Saatnya Lagu Indonesia Raya dilaungkan dan bendera Indonesia dinaikkan semasa upacara hadiah, sekali lagi Taufik menangis dengan emosi kebanggaan. Chong Wei yakin saat itulah antara saat paling bangga Taufik dalam kerjayanya. Saat itu juga mengubah persepsi saya," katanya.

Dia yang mengumumkan persaraan pada Julai 2019 berkata, sejak itu dia bersungguh-sungguh menjalani latihan bagi memenangi emas Olimpik.

"Chong Wei mahu pingat emas Olimpik. Chong Wei mahu bendera Malaysia dikibarkan. Chong Wei mahu sangat lagu "Negaraku" berkumandang di pentas Olimpik.

"Setiap hari latihan bermati-matian. Bangun paling awal, balik paling lambat. Arak tak pernah sentuh. Rokok pantang dicuba. Makan pun jaga.

"2008 di Beijing, Lin Dan di belakang ribuan sokongan penonton tempatan. Terlalu handal. Tidak apa. Cuba lagi empat tahun lagi.

"2012 di London, Lin Dan lagi (siot betul)! Kali ini sengit. Chong Wei menghabiskan segala tenaga yang ada. Sampai kosong gas tong. Rubber game, kalah 21-19. Tidak putus asa. Nak lagi, empat tahun lagi.

"2016 di Rio, kali ini saya menang Lin Dan. Tapi emas tetap tidak kesampaian. Badan sudah ibarat kata Malaysian… koyak. Kalah pula kepada Chen Long di final.

"Tapi hati masa tu masih tidak mahu putus asa. Mahu cuba sekali lagi di Tokyo. Selepas itu, anda semua tahu apa yang berlaku. Minta maaf Malaysia. Sangat-sangat minta maaf. Tidak terdaya membawa balik pingat rahmat itu untuk rakyat Malaysia," katanya.

Chong Wei turut meniupkan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara yang akan beraksi di Tokyo untuk melakukan yang terbaik demi Malaysia.

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo