Responsive Ad Slot

Man Kidal pasrah, jual kereta demi kelangsungan hidup

PETALING JAYA – Enggan meminta-minta walau hidup dalam kesempitan sejak pandemik Covid-19, maestro gitar terkenal, Man Kidal tewas apabila terpaksa mengambil keputusan menjual barangan peribadi termasuk kereta demi kelangsungan hidup.

Isteri merangkap pengurusnya, Norlaila Yusof berkata, keadaan kewangan mereka cukup meruncing selepas suaminya itu tidak menerima tawaran persembahan hampir dua tahun selain beberapa projek dan bisnes dirancang terhenti begitu saja.

“Bukan tidak berusaha, apabila pandemik menyerang, projek lagu Abang Man (Man Kidal) bersama Hillary Ang turut tergendala tetapi kami usaha pula berniaga, jual kuih serta buka perniagaan percetakan. Terpaksa juga ditutup sebab impak semasa.

“Kami hilang punca pendapatan sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu dan hanya menggunakan wang simpanan yang ada untuk melunaskan bil serta keperluan lain.

“Bayangkan dua tahun begitu biarpun macam-macam usaha sudah kami lakukan. Setakat makan, anak-anak dan keluarga terdekat memang membantu, takkan nak bebankan mereka untuk lunaskan bil dan duit rumah, mereka pun ada tanggungan.

“Bukit ditarah pun lama-lama rata. Jadi kami usaha cara lain. Jalannya adalah jual kereta kami. Saya tahu dia sedih dan hilang punca sebab walaupun anak-anak sudah besar, dia risaukan dua cucu yang kami jaga dari kecil selepas ibu bapa mereka berpisah” katanya kepada Kosmo! Online.

Dalam keadaan sekarang, ibu kepada empat cahaya mata dan 11 cucu itu tidak malu mendedahkan keadaan yang dilalui kini sehingga sudah sampai ke tahap terpaksa mengangkat bendera putih.

Apatah lagi dalam situasi sekarang yang semakin membingungkan apabila disahkan positif Covid-19 sejak beberapa hari lalu, malah suaminya juga kurang bermaya dan lemah selepas mengalami demam panas.

““Duit simpanan yang ada banyak yang dilaburkan untuk modal berniaga dan projek muzik Saya tak malu mengaku ada juga bil yang tertunggak sebab wang yang ada cukup makan saja.

“Selepas berita kami positif Covid-19 ada juga kenalan yang risau kami tiada makanan. Alhamdulillah dari segi itu ada saja rezeki cucu-cucu kami berdua itu sebab anak-anak saya dan saudara terdekat hantar ke rumah.

“Cuma saya buntu memikirkan di mana hendak cari pendapatan untuk hari seterusnya dan pada masa sama tak mahu kesihatan Abang Man semakin terganggu kerana memikirkan masalah kewangan kami,” katanya lagi.

Terdahulu Norlaila, 57, dan Man Kidal positif Covid-19 sejak tiga hari lalu bersama empat lagi ahli keluarga mereka yang tinggal sebumbung dan kini menjalani kuarantin di rumah.

Man Kidal atau nama sebenar Abdul Rahman Mahmood, 57, merupakan pemain gitar legenda yang memulakan kerjaya muzik sejak 1979 bersama Lefthanded malah turut menyumbangkan kreativiti seni menerusi penghasilan beberapa lagu kumpulan itu.

Pada masa sama, Norlaila berharap tiada pihak menyalahkan atau menuduh anak-anak tidak mengendahkan mereka selepas berita kehidupan sukar mereka diketahui ramai.

Katanya, ketika semua orang sedang melalui kesulitan begini jangan melemparkan dakwaan melulu hingga boleh melukakan dan membunuh semangat insan lain.

“Saya tahu ada yang menghubungi tiga anak kami bertanyakan kenapa biarkan ibu bapa mereka susah. Tolonglah, jangan salah faham. Macam yang saya cakap, anak-anak juga sudah banyak berkorban untuk kami. 

“Mereka juga berdepan masalah sama tetapi tidak pernah biarkan kami tiada makanan. Mereka pun ada mulut untuk disuap… minta sangat jangan cepat jatuh hukum.

“Abang Man bertambah sedih mendengar desa- desus seperti itu. Mungkin sebab inilah awal dulu seboleh-bolehnya dia berdiam dan cuba bertahan,” luah Norlaila lagi. – K! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo