NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan sudah penuhi tiga tuntutan doktor kontrak



 Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Ketika ini tuntutan mendapat status jawatan tetap dianggap tidak bersesuaian kerana kerajaan kini sedang menumpu perhatian bagi menangani pandemik Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Perlis, Dr Wan Mohd Redzuan Wan Hassan berkata kerajaan juga telah memenuhi tiga daripada lima tuntutan yang dikehendaki kumpulan doktor kontrak terbabit.

“Beberapa tuntutan telah pun dipenuhi, cuma tuntutan untuk mendapat jawatan tetap bukan masa yang sesuai kerana kerajaan sedang menumpu kepada kenaikan kes Covid-19 sekarang.

“Dari segi gerak kerja perbincangan, mesyuarat dan dana kerajaan sudah lebih tertumpu kepada hal yang lebih utama iaitu Covid-19 dan masalah ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hartal doktor kontrak yang disasarkan diadakan di seluruh negara pagi tadi dianggap tidak mendapat sambutan, di mana sebahagian sahaja keluar menyertai himpunan tersebut.

Malah di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu tiada perhimpunan itu dianjurkan pada jam 11 pagi tadi.

Media hari ini melaporkan kira-kira 2,000 doktor lantikan kontrak yang berkhidmat di seluruh negara dikatakan akan meneruskan mogok.

Dr Wan Mohd Redzuan juga berkata, tidak sepatutnya perkara itu timbul semasa negara sedang dilanda pandemik Covid-19 yang meragut banyak kematian.

“Kami juga menyokong tuntutan yang dinyatakan dengan syarat tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

“Contoh syarat seperti keluar dengan kebenaran ketua jabatan, tetapi yang saya tahu ketua jabatan memang tidak benarkan keluar kecuali penjawat yang sedang bercuti.

“Tuntutan status penjawatan tetap kita sokong cuma bukan masa yang sesuai, perbincangan ke arah itu, sudah tentu melibatkan banyak pihak,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau kerajaan sudah memenuhi beberapa tuntutan seperti tahap gaji yang sama, kelayakan cuti malah peluang sambung belajar juga diberikan sama seperti penjawat tetap.

Status doktor kontrak sebenarnya bermula kesilapan perancangan kepimpinan negara 20 tahun yang lalu di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penghasilan terlalu ramai graduan perubatan melebihi populasi penduduk menyebabkan kerajaan memperkenalkan sistem penjawatan baru di bawah sistem penjawatan kontrak pada Disember 2016 di era Dato’ Seri Najib Abdul Razak.

Penjawatan doktor kontrak secara keseluruhannya lima tahun dan bakal berakhir pada Disember tahun ini. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/26/kerajaan-sudah-penuhi-tiga-tuntutan-doktor-kontrak/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo