NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Eksport minyak sawit negara ke Iran sehingga Mei 2021 meningkat lebih 400 peratus

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kiri) mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Pengarah Urusan Perbadanan Perdagangan Kerajaan Iran (GTC), Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Iran bersetuju untuk meneroka usaha meningkatkan eksport sawit negara ke republik berkenaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata kementerian mengambil maklum mengenai hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia sehingga 1 juta tan setiap tahun.

Katanya, semasa pertemuan beliau dengan delegasi Iran yang diketuai Pengerusi dan Pengarah Urusan Perbadanan Perdagangan Kerajaan Iran (GTC), Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai lalu.

"Kedua-dua negara bersetuju untuk meneroka memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan meningkatkan eksport sawit Malaysia ke Iran tidak lama lagi.

"Pada pertemuan itu, Yazdan yang juga Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran menyatakan kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan yang kini mencapai sejumlah 2.2 juta tan setiap tahun.

"Beliau turut memaklumkan hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia. Malaysia menguasai 78 peratus pasaran minyak dan lelemak di Iran sepanjang tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairuddin berkata, pada tahun lalu, Iran mengimport minyak sawit Malaysia sebanyak 315,699 tan bernilai RM895 juta.

Bagaimanapun katanya, jumlah eksport minyak sawit negara ke Iran meningkat lebih 400 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, iaitu sebanyak 238,683 tan bernilai RM970 juta berbanding 50,889 tan bernilai RM131.5 juta dalam tempoh sama tahun 2020.

"Kerajaan Iran memaklumkan bahawa kapasiti penapisan minyak sawit negara itu kini meningkat dua kali ganda manakala industri pembungkusan mencatatkan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan ketika ini.

"Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara rantau itu yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun," katanya.

Tambahnya, Iran kini berhadapan dengan sekatan ekonomi, namun dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perdagangan dengan negara-negara terpilih.

"Misi utama GTC ialah untuk membekalkan bahan makanan kepada rakyat negara berkenaan.

"KPPK berharap MOU berkenaan dapat dimeterai antara kedua-dua negara melalui agensi yang berkaitan dalam usaha meningkatkan jumlah eksport minyak sawit Malaysia.

"Di samping dapat memainkan peranan utama membantu rakyat negara itu memperoleh bekalan makanan dalam situasi sukar pandemik COVID-19 dan sekatan ekonomi," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo