NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dua lagi suspek ditahan SPRM berhubung sindiket kartel projek di Selangor

PUTRAJAYA – Susulan penahanan tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman dua lagi individu iaitu seorang pegawai daerah (DO) bersama seorang juruukur bahan.
Kedua-dua suspek terlibat direman selama lima hari bermula hari ini selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua individu terlibat telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

“Suspek terlibat dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012,” katanya.

Katanya, dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat boleh memperoleh pelbagai projek bernilai anggaran RM20 juta.

Difahamkan, terdapat kira-kira 70 syarikat yang digunakan untuk membolot projek-projek tersebut termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya merupakan kroni atau proksi.

“Kontraktor-kontraktor ini akan menjaga dan berdampingan dengan pegawai-pegawai terlibat seperti menaja bermain golf dan bercuti ke luar negara dengan membiayai perbelanjaan sekeluarga,” katanya.

Kata sumber itu lagi, DO di Selangor yang direman hari ini dipercayai telah menerima suapan bernilai anggaran kira-kira RM125,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan.

Sementara itu, sumber berkata, juruukur bahan itu pula dipercayai telah memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek selain wang tunai anggaran RM90,000 dan sebuah basikal bernilai RM3,000. 

-K! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo