NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Benarkah Tengku Zafrul order nasi ganja guna helikopter sebagaimana tular?


Tengku Zafrul berkongsi gambar yang tular hari ini dan dirakamnya pada Disember tahun lalu. Foto Ihsan FB Tengku Zafrul.
Kuala Lumpur: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dirinya yang membuat tempahan nasi kandar dari sebuah restoran terkenal di Ipoh menggunakan helikopter seperti yang tular di media sosial.
Menurutnya, gambar beliau sedang menikmati nasi kandar yang ditularkan itu adalah gambar pada Disember tahun lalu.

"Lucu bila terima mesej WhatsApp yang dihantar, kononnya saya tempah 'nasi ganja' Ipoh guna helikopter. Mereka guna gambar lama saya makan nasi tapi dipotong bahagian tarikh.

"Saya sebenarnya dah lama tak makan nasi vanggey, tapi daripada tempah guna helikopter, baik guna khidmat penghantaran yang banyak ada macam Nasi Kandaq Transporter, Nasi Kandar Runner dan lain-lain, boleh juga bantu usahawan kecil," katanya melalui Facebooknya, hari ini.

Tengku Zafrul turut berkongsi gambar yang tular itu, yang memaparkan beliau sedang menikmati makanan itu serta gambar sebuah helikopter yang tertera ayat 'ambil pesanan 'nasi ganja' guna helikopter' dan gambar sebenar ketika ia dirakamkan.

Media hari ini melaporkan polis membuka kertas siasatan mengenai sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh semata-mata mengambil pesanan 36 bungkus 'nasi ganja' kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, siasatan terhadap individu dan syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya mengesahkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh antara 9.55 hingga 10.15 pagi hari ini.

Terdahulu, orang ramai 'terkejut' dengan kemunculan helikopter mendarat di Padang Ipoh dipercayai untuk mengambil tempahan nasi kandar daripada sebuah restoran terkemuka di bandar raya ini.

Terdapat dua individu dalam helikopter berkenaan dipercayai milik syarikat swasta, 'ditugaskan' untuk mengambil tempahan nasi kandar yang dikenali sebagai nasi ganja.

Difahamkan, helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil bungkusan nasi ganja yang ditempah pelanggan dari Kuala Lumpur.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo