NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PSR: Masih banyak persoalan tidak dijawab kerajaan negeri




GEORGETOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan berhubung bantahan terhadap projek tambak laut di perairan selatan negeri ini (PSR) yang sehingga kini masih menjadi tanya.

Aktivis Penang Forum, Khoo Salma Nasution berkata, antara persoalan itu adalah bagaimana kerajaan negeri akan membiayai projek-projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang akan menelan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit.

Sedangkan menurutnya, jangkaan keuntungan yang bakal diperolehi daripada projek tambakan separuh Pulau A di bawah PSR hanya sebanyak RM600 juta dalam masa tujuh hingga 10 tahun.

Selain itu tambah beliau, kerajaan negeri juga masih tidak menjawab persoalan bagaimana kos projek PSR telah melambung daripada RM8 bilion untuk dua pulau berkeluasan 1,428 hektar pada tahun 2015 kepada RM7 bilion untuk separuh pulau sahaja (485 hektar) pada tahun ini.

“Kerajaan negeri sehingga kini juga tidak dapat memberi justifikasi terhadap anggaran populasi bagi ketiga-tiga pulau yang dijangka akan mencecah 446,000 penduduk pada 2030 seperti yang dinyatakan di dalam laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek PSR itu kembali menjadi sorotan banyak pihak selepas kerajaan negeri bertekad meneruskannya meskipun mendapat bantahan pelbagai termasuk terbaharu daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang mahu projek tersebut dihentikan serta-merta.

Mengulas lanjut, Khoo Salma berkata, selain mengundang risiko ekonomi yang besar, projek PSR itu juga akan mendatangkan risiko kemusnahan alam sekitar yang amat tinggi.

Sebagai contoh jelasnya, penambakan tiga pulau yang berkeluasan 1,821 hektar itu memerlukan sebanyak 190 juta meter isipadu pasir.

“Jika perkara ini sukar dibayangkan oleh orang awam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah mengumpamakan jumlah penggunaan pasir itu seumpama keluasan 76,000 kolam renang bersaiz Olimpik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kerajaan negeri supaya berpegang kepada fakta dan realiti sebenar mengenai projek PSR supaya rakyat tidak terus terpedaya dengan projek tambak laut skala besar yang bakal mendatangkan malapetaka tersebut. – UTUSAN

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/psr-masih-banyak-persoalan-tidak-dijawab-kerajaan-negeri/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo