NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Johor gesa tindakan undang-undang individu pertikai institusi Diraja



JOHOR BAHRU: Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap individu dan pemimpin politik yang mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong termasuk mereka yang cuba mengheret Sultan ke dalam kancah politik.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut yang jika dibiarkan akan menjadikan keadaan lebih teruk.

Jelasnya, tindakan sedemikian boleh mewujudkan masyarakat yang tidak bertanggungjawab, bersifat derhaka selain boleh menjadi punca perbalahan dalam negara.

“Sikap ini jelas tidak mencerminkan jati diri kemelayuan apatah lagi sifat-sifat seorang Muslim sejati. Menegur dengan cara mempersenda Institusi Raja yang sangat dihormati adalah satu tindakan kurang ajar yang melampau.

“Pas Johor meminta pihak berkuasa terutama polis supaya bertindak tegas dan peka dengan golongan ini. Mereka sentiasa cuba menjadikan Malaysia yang aman dan sejahtera ini bergolak dan kacau bilau.

“Jika tidak diambil tindakan sewajarnya dan dijatuhkan hukuman setimpal, pasti akan lahir manusia yang tidak bersyukur dan bersifat biadab lagi derhaka,” katanya dalam kenyataan bertajuk Agenda DAP-PH: Malaysian Malaysia vs Ketuanan Melayu, di sini hari ini.

Tambah Abdullah, keadaan lebih bahaya apabila ada antara mereka yang terang-terang ingin menghapuskan sistem beraja kerana beranggapan Sultan atau Raja hanya menyusahkan rakyat dan negara.

Selain itu katanya, mereka juga menghasut rakyat supaya diwujudkan negara republik yang menjadikan Malaysia negara tanpa Raja.

“Jika itu berlaku maka salah satu keistimewaan orang Melayu dan negara Malaysia akan hilang. Perkara ini mesti dipandang serius oleh semua orang tanpa mengira agama mahupun bangsa.

“Sultan payung negara, sultan juga penyelamat bangsa. Mereka akan menjadi pemangkin dan tulang belakang, tanpa mereka maka hilanglah seri negara kita,” katanya.

Justeru ujar Abdullah,institusi diraja perlu dipertahankan daripada anasir penderhaka dengan tidak sekali-kali memberi ruang dan peluang kerana Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat. -UTUSAN ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo