NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Pulau Pinang ego, tidak sensitif: Che Abdullah

GEORGETOWN - Keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang meneruskan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) disifatkan sangat ego dan tidak sensitif terhadap alam sekitar serta sumber alam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Sumber Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, walaupun Ketua Menterinya mengakui projek berkenaan akan memberi kesan terhadap alam sekitar namun beliau masih angkuh dan berkeras untuk meneruskannya.

Menurutnya, teguran dan pandangan daripada pakar-pakar, pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan atau NGO serta aktivis-aktivis alam sekitar tidak diambil perhatian.

"PSR yang akan diteruskan ini akan menjadi malapetaka kepada nelayan di Pulau Pinang khususnya dan menjejaskan sektor perikanan negara.

"Ketika Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang berusaha keras bersama pelbagai pihak menambah baik solusi untuk meningkatkan SSL ikan negara namun kerajaan DAP Pulau Pinang tanpa rasa bersalah mengumumkan untuk meneruskan projek ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk meneruskan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) walaupun banyak pihak mendesak supaya ia dibatalkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak perlu memilih antara PSR dan alam sekitar serta nelayan sebaliknya yakin dengan kemajuan teknologi dan kejuruteraan bagi membolehkan projek berkenaan dibangunkan tetapi tetap memulihara alam sekitar dan masyarakat.


Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menafikan projek berkaitan akan memberi kesan malah pihaknya selalu berkongsi dengan masyarakat mengenai rancangan yang akan dilakukan.

Sementara itu, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ketika di Parlimen pada 19 Julai tahun lalu menyatakan seramai 4,996 nelayan akan terjejas dengan projek PSR.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 1,422 orang adalah nelayan tradisional zon A selain projek berkenaan akan menjejaskan pendaratan perikanan tangkapan marin di negeri ini sebanyak 51,184 metrik tan atau nilainya RM525 juta setahun akibat kemusnahan kekal yang akan berlaku.

"Keangkuhan dan ketidak prihatinan kerajaan negeri ini terserlah selepas bantahan dibuat oleh rakan mereka dalam Pakatan Harapan juga tidak diendahkan.

"Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pernah menyarankan projek ini dibatalkan malah Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin sendiri pernah menyatakan tentangan beliau," katanya.

Jelasnya, perkara itu diluahkan ketika perjumpaan bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang turut meminta MAFI memberi tekanan kepada kerajaan negeri agar tidak meneruskan projek tersebut.

"Saya berkesempatan bertemu dan mendengar rintihan masyarakat serta pemimpin setempat sebelum ini yang melahirkan kebimbangan mereka terhadap kelangsungan hidup selepas ini.

"Jadi persoalannya apakah motif sebenar kerajaan negeri yang dilihat bersungguh-sungguh meneruskan projek ini," katanya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/143473/BERITA/Nasional/Kerajaan-Pulau-Pinang-ego-tidak-sensitif-Che-Abdullah


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo