NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah gembleng upaya bantu rakyat tangani COVID-19




KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah telah menggembleng segala keupayaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam memastikan penularan COVID-19 dihentikan dan rakyat yang terkesan dapat dibantu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, usaha menangani COVID-19 berjaya dengan pedoman dan tunjuk ajar disampaikan Kerajaan Persekutuan di mana dapat melayari gelombang dengan baik.

“Alhamdulillah dah setahun lebih kita dapat tangani dengan baik. Kerajaan pun tak jatuh, malah kerajaan semakin hari semakin kukuh. Kepercayaan orang pun makin hari makin tinggi.

“Sumber kita dapat dioptimumkan, kita punya reserve pun alhamdulillah tidak menyusut, kita tak cairkan lagi kita punya reserve untuk menangani isu-isu berbangkit ini,” jelasnya pada Bicara Harakah bertajuk ‘Mengurus COVID-19: Betul Ke #KerajaanGagal?’, malam tadi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukan bantuan pada Ogos tahun lepas sebanyak RM2.9 juta dan ditingkatkan pada Februari baru-baru ini sebanyak RM7.4 juta lagi, selain pemotongan gaji Exco dan ADUN.

Cerita beliau, gelombang kedua COVID-19 yang bermula dari Kluster Sivagangga hingga diisytiharkan PKP Diperketatkan (PKPD) menjadi pengalaman untuk mewujudkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Terang beliau, PKOB diaktifkan di 15 daerah termasuk daerah kecil di seluruh negeri ini bertujuan membantu rakyat antaranya menyampaikan bakul makanan kepada mereka yang dikenakan PKPD.

Beliau berkongsi pengalaman di mana petugas bukan sahaja menguruskan penduduk yang ramai dan padat seperti di Amanjaya, tetapi juga pola taburan tinggal berjauhan seperti banyak di Sik dan Baling.

Katanya lagi, pihak kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman mudah untuk para peniaga, selain mengadakan kawasan bebas niaga meniru pendekatan Menteri Wilayah adakan di Kuala Lumpur.

Kerajaan negeri juga ujar Sanusi, mengadakan moratorium bagi bayaran cukai tanah dan sewa premis-premis kerajaan negeri di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan memberikan penangguhan bayaran.

Mengulas mengenai tanggungjawab kesihatan di bawah Kerajaan Persekutuan, jelasnya sikap mengasingkan antara senarai Negeri dan Pusat tidak diamalkan pihaknya atau berlepas tangan sepenuhnya kepada Pusat.

Sebaliknya kata beliau, Kerajaan Negeri Kedah menawarkan sepenuhnya kesungguhan dan bantuan yang termampu seperti menyediakan fasiliti diperlukan pihak terbabit serta pemilikan kepunyaan kerajaan negeri atau PBT. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/24/kedah-gembleng-upaya-bantu-rakyat-tangani-covid-19/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo