Responsive Ad Slot

Agong wajar bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Kabinet

0

KUALA LUMPUR: Peruntukan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata perkara itu bertepatan dengan prinsip Raja Berperlembagaan.

"Semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu dan rakyat perlu patuh serta menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi dalam negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sependapat dengan pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu A Aziz, berhubung perkara itu.

Apandi berkata, tugasan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong jelas dinyatakan dalam Sumpah Jawatan seperti tercatat dalam Jadual ke-4, Perlembagaan Persekutuan.

"Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas, berhak untuk mendapat pandangan serta penjelasan daripada pihak yang baginda fikirkan sesuai.


"Justeru, kerana itulah ditubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria," katanya.

Abdul Hamid dan Shamrahayu antara lain berpandangan, wujud sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri dan Kabinet seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Mereka berkata, pelanggaran peruntukan tertentu akan memberi kesan kepada baginda sendiri kerana Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet termasuk menteri-menteri, seperti mana peruntukan Perkara 40(1) & (2) Perlembagaan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/830602/agong-wajar-bertindak-atas-nasihat-perdana-menteri-kabinet

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo