Nik Nazmi akui PH gagal tumpu isu periuk nasi rakyat ketika mentadbir



AHLI Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui bahawa Pakatan Harapan melakukan beberapa kesilapan ketika mentabir negara selama 22 bulan selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14. 

AHLI Parlimen Setiawanga itu berkata, Kerajaan Pakatan Harapan gagal memberi fokus terhadap beberapa isu berkaitan rakyat. “Walaupun PH melakukan yang terbaik untuk memperkenalkan agenda perubahan, kami harus mengakui kami ada melakukan kesilapan. Kami gagal memberi tumpuan kepada isu periuk nasi yang penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

 “Cara kami menangani isu-isu berkaitan bangsa, agama dan bahasa Kebangsaan masih perlu diperbaiki – ini bukan sahaja memberi modal kepada musuh politik kami, tetapi turut memburukkan keadaan berbanding menyembuhkan luka di negara kita. 

“Cuma, dalam kehidupan, pengalaman adalah guru terbaik, dan kita perlu belajar daripada kesilapan lepas,” kata Nik Nazmi dalam hantaran terbaharu di Facebooknya. 

Ketua Setiausaha Pengelola PKR itu turut menyentuh mengenai penjajaran parti-parti politik selepas insiden menteri besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat lalu. 

Krisis politik di Perak menimbulkan spekulasi kononnya Pakatan Harapan dapat menjalin kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional di negeri itu. 

Tegas Nik Nazmi, sebagai Ahli Parlimen PKR beliau yakin bahawa PH adalah platform terbaik untuk rakyat mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara yang progresif dan adil. 

“Apa sahaja yang berlaku di Perak akan membawa kesan di peringkat Persekutuan. Situasi seperti ini selalunya akan membawa kepada perkara yang lebih besar dan menggemparkan arena politik Malaysia. 

“Segala penjajaran politik yang baru mesti mengutamakan kepentingan rakyat – kita tidak boleh berkompromi dalam isu ini,” tegas beliau. 

Menurut Nik Nazmi penjajaran parti-parti politik bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. 

Selepas tragedi 13 Mei pada tahun 1969 menyaksikan semua parti pembangkang kecuali DAP menyertai Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak. 

Tidak lama selepas itu, PAS, PPP, Parti Perikatan Sabah, dan dua parti Sarawak iaitu SUPP dan PBB bergabung dengan ahli asal Parti Perikatan untuk membentuk Barisan Nasional. Gabungan itu menguasai politik Malaysia sehingga kalah PRU-14 pada Mei 2018. 

Katanya, penjajaran politik pernah berlaku antara Pas, DAP dan PKR beberapa kali pada masa lalu termasuk melalui Pakatan Rakyat. 

“Kami mengetepikan tahun-tahun persengketaan dan kecurigaan untuk bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang membolehkan Bersatu menjadi ahli komponen PH pada 2017,” jelas Nik Nazmi. - SM



Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post