NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Membina, diruntuh dan membina semula Palestin - Syahir Sulaiman

Simpati terhadap Palestin telah memuncak. Kesengsaraan yang berlaku amat dahsyat sehingga Setiausaha Agung PBB AntĆ³nio Guterres berkata, “If there is a hell on earth, it is the lives of children in Gaza”.

Dilaporkan seramai 248 orang termasuk 66 kanak-kanak terbunuh akibat serangan bom oleh Israel di Gaza. Dianggarkan 16,800 rumah kediaman rosak ataupun musnah, 50 peratus sistem perbekalan air bersih terjejas, manakala kerosakan sektor industri, tenaga dan pertanian ditaksirkan berjumlah USD100 juta.

Segalanya berlaku dalam tempoh 11 hari.

Pada Julai 2014 ketika Israel melancarkan serangan ‘Operation Protective Edge’ di Gaza, hampir 2,310 nyawa terkorban dan 10,600 tercedera, mengakibatkan kemusnahan yang amat besar terhadap rumah kediaman (7,000 musnah, 89,000 rosak teruk), di samping kemusnahan prasarana utama seperti hospital, sekolah, masjid, pengangkutan serta bekalan air dan elektrik.

Setelah Gaza dibangunkan semula dalam serba kepayahan dan kepungan (blockade), sekali lagi Gaza telah diranapkan oleh serangan regim Zionis Israel, yang akhirnya telah membuka mata dunia sejagat untuk menyaksikan kekejaman ke atas orang awam dan kanak-kanak yang tidak berdosa, serta perlakuan jenayah perang, dasar kolonial, penghapusan etnik dan aparteid oleh regim Zionis Israel di bumi Palestin.

Kitaran ‘Destruction & Reconstruction’ Tidak Wajar Berulang.

Sejak 2007, Gaza telah dikenakan perintah kepungan (blockade) darat, udara dan air sepenuhnya oleh regim Zionis Israel, di samping berdepan kekurangan infrastruktur asas yang menjejaskan kehidupan 2 juta penduduk di wilayah sempit yang tersenarai di antara yang terpadat di dunia.

Dalam tempoh 14 tahun kepungan ini, Gaza telah beberapa kali diserang dengan dahsyat oleh regim Zionis Israel khususnya pada 2008, 2012, 2014 dan terbaharu serangan Mei 2021, menyaksikan angka terkorban dan tercedera yang tinggi, di samping kemusnahan kediaman, prasarana dan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh warga Gaza.

Kepungan yang dikenakan terhadap Gaza telah melumpuhkan keseluruhan sistem kehidupan penduduk Gaza dalam aspek hubungan luar, kesihatan, pendidikan, makanan dan prospek ekonomi yang terhad. Pengangguran melonjak daripada 23 peratus pada 2005 kepada 49 peratus pada 2020, manakala kadar kemiskinan meningkat daripada 40 peratus kepada 56 peratus bagi tempoh yang sama, menyaksikan nilai KDNK per kapita jatuh 27 peratus.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh ‘United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs’ (UN OCHA) bertajuk ‘Suffocation and Isolation: 15 Years of Israeli Blockade on Gaza’, kesan daripada kepungan yang dikenakan terhadap Gaza adalah di luar batas ketamadunan dan perikemanusiaan, sehingga dibuat kesimpulan “Gaza is almost unlivable after 15 years of blockade”.

Hentikan Pendudukan Haram Israel, Tamatkan Kepungan Gaza.

Setelah menghadapi tentangan hebat oleh HAMAS dan Jihad Islami, didokong oleh kebangkitan dan kesatuan warga Palestin dan umat Islam sedunia, serta kesedaran dan penolakan dunia sejagat termasuklah di US, UK dan Eropah, maka regim Zionis Israel terpaksa tunduk kepada tekanan dan mengisytiharkan gencatan senjata pada 21 Mei 2021.

Dengan gencatan senjatan yang dilihat sangat rapuh ini, tumpuan dunia kini adalah untuk mengurangkan ketegangan dan berusaha mencari jalan penyelesaian menyeluruh, adil serta berkekalan berdasarkan resolusi PBB dan kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa dan hak kemanusiaan.

Desakan di peringkat antarabangsa, khususnya PBB dan OIC, perlu diperhebatkan bagi mengembalikan prospek keamanan yang berkekalan dan membangun semula Palestin secara mampan dengan menggembeling segala kuasa, sokongan dan kerjasama terhadap usaha-usaha berikut:

1 - Menyalurkan bantuan kemanusiaan dengan segera tanpa sebarang sekatan;

2 - Membangun semula Gaza secara tersusun dan terancang;

3 - Menamatkan kepungan (blockade) di Gaza;

4 - Menghentikan serangan di Masjidil Aqsa dan penempatan asal umat Islam;

5 - Menghentikan pendudukan haram Israel; dan

6 - Mengheret ke muka pengadilan perlakuan kolonial, diskriminasi, penghapusan etnik, dasar apartheid, jenayah perang dan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh regim Zionis Israel.

Penerimaan Awam dan Sokongan Sejagat.

Tidak cukup dengan tekanan diplomatik, perubahan sikap dan penerimaan awam (public acceptance) terhadap perjuangan Palestin dilihat semakin positif di seluruh dunia khususnya dalam kalangan anak muda, tempias perkongsian dan hantaran di media sosial yang serba pantas.

Kesedaran ini perlu disandarkan kepada kefahaman bahawa perjuangan warga Palestin adalah bagi membela hak dan keadilan yang terhakis sejak penubuhan negara haram Israel, serta menolak keganasan jenayah perang, dasar penjajahan, diskriminasi dan penghapusan etnik di luar batas peradaban manusia.

Lebih digeruni Israel apabila pola pemikiran ini bakal membentuk sokongan awam terhadap kempen ‘Boycott, Divestment, Sanction’ (BDS) yang kian mendapat tempat di kebanyakan negara untuk memboikot, menamat dan menyekat pelaburan dengan Israel, serta kempen ‘Delegitimising’ yang mempersoalkan keabsahan negara haram Israel. Hal ini sangat ditakuti sehingga digelar sebagai ancaman strategik (national threat) kepada negara haram Israel.

Dengan keyakinan terhadap kebangkitan warga Palestin, kesatuan umat Islam, keupayaan negara Islam, kesedaran warga dunia dan ketegasan badan antarabangsa, sokongan dan kerjasama perlu digerakkan bagi menghentikan kitaran kezaliman dan kemusnahan (destruction cycle) yang berlarutan di bumi Palestin, seterusnya mengembalikan keamanan di rantau Timur Tengah dan dunia sejagat.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam penulisan terbaharunya, “Kemenangan Islam ditentukan oleh kesatuan umat Islam yang ditakuti akan perpaduannya. Maka, umat Islam wajib menghalang sebarang usaha untuk menggagalkan perpaduan umat dengan dicetuskan perbezaan, serta wajib terus-menerus melibatkan diri dalam membantu Palestin dengan kemampuan masing-masing”.

Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim!

- Penulis ialah Timbalan Pengerusi Sekretariat #Aid4Palestine, sebuah inisiatif usahasama NGO-NGO di Malaysia bagi menggerakkan misi kesedaran, kebersamaan dan bantuan kemanusiaan ke Palestin.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo