NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes COVID-19 di UK menurun bukti kejayaan awal vaksin



LAPORAN awal Program Imunisasi COVID-19 di United Kingdom (UK) bermula Disember lalu, kini masuk bulan keenam. Antara tujuan utamanya, mengurangkan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan menurunkan kes kematian akibat jangkitan virus ini.

Sehingga 23 Mei lalu, di England sahaja seramai 51.3 peratus rakyatnya menerima dos pertama dan 31.4 peratus pula melengkapkan kedua-dua dos. Golongan tua menerima vaksin teramai berbanding golongan lain.

Ini juga strategi mengambil kira faktor risiko jangkitan dan kematian sejak awal Mac tahun lalu lagi. Laporan Public Health England COVID-19 Vaccine Surveillance Report Week 21 pada 27 Mei lalu menyatakan berdasarkan ujian antibodi terhadap penderma darah mendapati 73.6 peratus orang dewasa di England mempunyai antibodi terhadap COVID-19 sama ada berasal dari infeksi COVID-19 atau hasil vaksin diterima. Hanya 15.6 peratus dalam kalangan mereka mempunyai antibodi hasil daripada infeksi.

Maklumat status peratusan antibodi ini sangat memberangsangkan kerana memberi petunjuk semakin ramai rakyat di England terbentuk antibodi bersifat pencegahan ke atas COVID-19 dalam sistem imun badan.

Antara 'kejayaan' awal program imunisasi ini juga ialah jumlah kes positif COVID-19 menurun, termasuk jumlah kemasukan ke wad dan kematian, terutama golongan berusia lebih 60 tahun.

Ini bertepatan hasil kajian COVID-19 mendapati lebih 98 peratus dalam kalangan dewasa berusia lebih 60 tahun mempunyai antibodi terhadap COVID-19 sama ada akibat infeksi terbuka atau hasil vaksinasi.


Data statistik keberkesanan program ini menunjukkan pengurangan kemasukan wad lebih 39,000 pesakit dan penurunan jumlah kematian lebih 13,000 pesakit dewasa.

Apa boleh kita pelajari daripada maklumat awal program imunisasi UK? Kaedah kawalan penularan jangkitan mesti berdasarkan program vaksin secara komprehensif ke atas semua penduduk atau sekurang-kurangnya mereka berisiko tinggi.

Program vaksin secara massa boleh memberi impak cepat dan memutuskan penularan jangkitan seperti COVID-19. Sekadar bergantung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengamalkan penjarakan fizikal tidak memadai.

Justeru, semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan kedudukan wajar memahami konsep kawalan pencegahan penyakit serta memberi komitmen sepenuhnya.

Setakat hari ini pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera untuk penerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan (PICK) ialah 11,564,724 atau 36 peratus daripada 32.75 juta rakyat Malaysia hingga suku pertama tahun ini atau 45 peratus daripada sasaran 80 peratus penduduk menerimanya hingga Februari tahun depan.

Daripada jumlah itu, hanya 1.8 juta menerima vaksin atau tujuh peratus daripada sasaran. Jika kita rujuk jumlah penerima vaksin berbanding perancangan Jawatan Kuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), didapati peratusan masih kurang selepas fasa satu tamat akhir April lalu.

Sesuatu drastik wajar dilakukan kerajaan dan JKJAV supaya Malaysia boleh menerima lebih banyak bekalan vaksin bagi membolehkan fasa dua yang baru bermula mencapai objektif lebih tinggi.

Pada waktu pandemik ini, tanggungjawab semua pihak wajar digerakkan, bukan lagi hanya bergantung kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Tidak dinafikan masih ramai mempermainkan isu status tidak halal vaksin, teori konspirasi dan pelbagai teori menakutkan orang ramai untuk tampil sukarela menerima vaksin.

Sebahagiannya, individu profesional, berlatar belakang agama, guru agama, ketua kawasan dan mereka berpengaruh dalam komuniti. Mereka sering menyampaikan fakta tidak tepat.

Perlu ditekankan ilmu sains perubatan sangat luas dan ilmu vaksin ini perlu dipelajari daripada pakar mahir dan terlatih. Jika kita kaji semula asal ilmu dan kemahiran vaksin, ia bermula lebih 300 ratus tahun lalu.

Pada zaman kegemilangan Islam Uthmaniyah di Turki, saintis Islam membangunkan vaksin 60 tahun lebih awal daripada penemuan vaksin cacar oleh Edward Jenner pada 1796.

Dengan fakta sejarah ini, golongan antivaksin atau penolak vaksin wajar mengkaji semula kenapakah ilmu ini dibawa balik ke Eropah yang hingga kini terus dibangunkan saintis merata dunia.

Berdasarkan perkembangan semasa jumlah kes positif COVID-19 harian, kita tiada pilihan dan tidak boleh lagi diganggu perkara sampingan menjejaskan kesejahteraan, kesihatan dan kehidupan sosial.

Ayuh, sama-sama kita fokus dan mencari penyelesaian serta ringan tulang dalam memastikan rantaian penularan ini dapat diputuskan, jumlah kes serta kematian akibat COVID-19 terus berkurangan.

**Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Kajian, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), International Medical University (IMU) dan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK)






No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo