NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda PN Tolak Budaya Politik Dominasi

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

6 APRIL : Pemuda Perikatan Nasional (PN) menolak budaya politik dominasi yang akhirnya menyemai bibit perpecahan, selain melahirkan kepimpinan rasuah, salahguna kuasa dan kleptokrat.

Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham, berkata ini kerana negara sudah menyaksikan pelbagai pengalaman demokrasi yang kemudian menjadi medan perebutan kuasa dan menjamin kepentingan golongan elit, sehingga mengabaikan rakyat.

“Menginsafi dinamika ini, PN komited untuk melakukan penjernihan demokrasi melalui penerapan nilai-nilai murni dalam politik.

“Demokrasi unggul menuntut parti politik memaknai pengertian demokrasi sebagai wahana memperkukuh perpaduan dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Hilman berkata, PN menyambut baik seruan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada seluruh platform politik untuk bersatu dan bersama tawaran baru PN.

Katanya, PN turut mengalu-alukan pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Malaysian Indian Congress (MIC) yang mendukung kepimpinan Pengerusi PN yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan.

Beliau berkata, keyakinan ketiga-tiga parti itu bahawa kestabilan politik adalah kunci utama menjamin kepentingan rakyat dan kemakmuran negara adalah selaras aspirasi PN.

“Kita yakin melalui pengalaman demokrasi negara selama tujuh dekad, Malaysia mampu mengorak langkah untuk menghasilkan politik berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi membangunkan bangsa yang dinamik serta bersatu padu.

“Justeru, Pemuda PN menyeru rakyat untuk memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan, terutama ketika kita berdepan COVID-19, malah ikatan utuh dalam kalangan parti politik juga penting bagi membela kepentingan negara, menjamin kedaulatan serta menyemarak kemakmurannya,” katanya. 

http://www.pnbbcportal.com/2021/04/06/pemuda-pn-tolak-budaya-politik-dominasi/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo