Usul Putus Hubungan Dengan BERSATU, Jangka Panaskan Pentas Perhimpunan UMNO


PONTIAN: Usul memutuskan kerjasama di antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka menjadi tumpuan Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan secara bersemuka dan maya di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Mac ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata usul itu dibangkitkan 124 daripada 190 bahagian UMNO yang bersidang pada 1 hingga 3 Januari lalu.

Katanya, dua usul utama lain yang diterima Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk dibahaskan pada persidangan itu adalah mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun beliau berkata, perhimpunan itu turut akan memberi perhatian terhadap isu ekonomi, pendidikan dan agama, selain bantuan rakyat dalam isu berkaitan COVID-19, selain isu politik.

"Sebanyak 124 bahagian mengusulkan supaya UMNO hanya bekerjasama dengan BERSATU sehingga Parlimen dibubarkan sahaja.

"Sejumlah 750 persidangan perwakilan UMNO diadakan pada 1 hingga 3 Januari lalu kecuali UMNO bahagian Tanah Merah di Kelantan yang digantung," katanya selepas melawat Kampung Wak Rabu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata perhimpunan kali ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila diadakan secara hibrid iaitu secara secara bersemuka dan maya.

"Segala persiapan sudah dibuat secara rapi malah raptai perhimpunan juga sudah dibuat semalam. Saya juga sedang memohon kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk adakan perhimpunan ini.

"Ini kerana perhimpunan yang pertama dalam sejarah sejak UMNO ditubuhkan 75 tahun lalu, dibuat secara kombinasi bersemuka dan maya," katanya.

Ketika ditanya jumlah sebenar pewakilan yang akan hadir ke Kuala Lumpur bagi PAU kali ini, Ahmad enggan memperincikan jumlahnya.

"Saya tak boleh cakap dulu jumlahnya, namun berharap PAU kali ini akan berjalan lancar selepas tertangguh sebanyak dua kali sebelum ini," katanya.

- Bharian

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post