Tujuh Sebab Wujud Dua Aliran Dalam UMNO - Annuar Musa

 

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyenaraikan tujuh sebab yang dikatakan membawa kepada wujudnya dua aliran dalam UMNO berhubung pendirian parti itu dalam isu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa antaranya ialah ada pihak teramat kecewa apabila tidak terpilih menyertai Kabinet, sekali gus mewujudkan dua kluster apabila anak buah berada dalam kerajaan tapi 'big bosses" di luar kerajaan.

Beliau berkata, mereka yang tidak dipilih berada dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya memulakan rentak yang berbeza.

Katanya, ketika UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti itu bersatu dan berjuang dengan pemikiran yang tajam sehingga kembali kuat.

Bagaimanapun katanya, beliau kini tertanya-tanya apakah punca yang membawa kepada konflik dalam partinya itu.

"Sebagai pemain yang berada di tengah gelanggang, saya kadang kala tertanya-tanya apa tidak kena masa ini, kenapa dan sejak bila.

"Antara jawapan yang saya perolehi adalah... bermula apabila UMNO kembali menjadi kerajaan, ada yang teramat kecewa mereka tidak terpilih menyertai Kabinet dan mereka memulakan rentak yang berbeza.

"Apabila anak buah berada dalam kerajaan tapi 'big bosses" di luar kerajaan, wujud dua klusters.

"Sejak kes di mahkamah tidak memihak kepada yang didakwa dan dirasakan kerajaan tidak membantu," kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.

Di samping itu, Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mendakwa, ketidaksefahaman juga berlaku sejak pertemuan sulit pada Ogos atau September tahun lalu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, wujud muafakat secara senyap untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan sumpah setia kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Ogos 2020, sekali gus membelakangi keputusan parti "No Anwar, No DAP."

"(Ia berlaku) sejak pertemuan sulit pada 17 Oktober 2020 di sebuah rumah sekitar Ampang, membabitkan pimpinan parti dan pemimpin PH (Pakatan Harapan) disusuli beberapa perbincangan lain bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan (Perdana Menteri), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"(Ia berlaku) selepas percubaan menukar kerajaan PN melalui "menarik tikar di bawah kaki" yang gagal dan membawa kepada era Proklamasi Darurat pandemik," katanya.

Selain itu, Annuar mendakwa, satu gerakan dilancarkan dengan meminta UMNO di peringkat bahagian membuat usul menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-15, sebagai strategi menjayakan jajaran baharu.

Beliau juga mendakwa, Perhimpunan Agung UMNO 2020 dirancang dijadikan medan membatalkan jajaran asal yang sudah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berulang kali.

"Akibatnya berlakulah pertembungan dua aliran pemikiran dalam kalangan pemimpin dan bahagian.

"Jajaran baharu yang condong kepada kerjasama dengan PH menentang jajaran asal yang condong kepada kerjasama dengan PN.

"Saksikan episod seterusnya," katanya.

- bharian

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post