NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tamatkan kerjasama Bersatu: UMNO ambil kira pandangan akar umbi

4 MAC: Keputusan UMNO untuk tidak bekerjsama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilakukan selepas mengambil kira pandangan akar umbi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu juga dibuat selepas mempertimbangkan secara cermat, baik buruknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Katanya, satu perjumpaan khas antara UMNO, Bersatu dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi setiap parti diadakan pada 15 Februari 2021.

“Di dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan Bersatu.

“Pendirian perlu dibuat sebelum sebarang perundingan penagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi tujuan itu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) mengadakan mesyuarat pada 19 Februari 2021 bagi membincangkan secara lanjut hasrat Perdana Menteri.

Ahmad berkata, mesyuarat itu menggariskan dua keputusan dan diutuskan kepada Perdana Menteri, iaitu tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

UMNO, katanya, sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina atas sebuah pakatan atau kerjasama politik, mesti berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Keputusan ini dicapai selepas mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, baik buruknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo