NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pinda Perlembagaan Persekutuan pertahan perundangan syariah


4 MAC: Kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan kedudukan sistem perundangan syariah di Malaysia.

Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, beliau memang menyokong penuh tuntutan dan petisyen yang dibuat oleh sekumpulan peguam dan pengamal undang-undang Islam supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mempertahankan perundangan syariah di Malaysia.

Ahmad Fadhli berkata, kerisauannya berasas selepas penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes ‘Iki Putra Mubarrak vs Kerajaan Negeri Selangor & Anor’, sekalipun dibuat atas pertimbangan dan kebijaksanaan para Yang Amat Arif dan Yang Arif-arif Hakim, tetapi dikhuatiri bakal membuka suatu ruang untuk lebih banyak peruntukan jenayah syariah di Malaysia dicabar di Mahkamah Sivil.

Beliau berkata, keputusan penghakiman tersebut dilihat sebagai peluang kepada golongan liberal untuk membuat lebih banyak litigasi strategik (strategic litigation) bagi Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Malah, Ahmad Fadhli berkata tanpa disedari, ianya telah menyempitkan bidang kuasa negeri dalam menggubal Undang-undang Jenayah Syariah seperti termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerisauan ini berasas jika sekiranya undang-undang Sivil selepas ini, secara tiba-tiba meminda Kanun Keseksaan dan membuang peruntukan kesalahan berkenaan persetubuhan luar tabii atau liwat.

“Pada masa yang sama, Badan Perundangan Negeri telah pun mengeluarkan peruntukan yang sama dari Enakmen Jenayah Syariah Negeri kerana tiada bidang kuasa dan Mahkamah Syariah telahpun hilang hak untuk mendakwa dan menghukum kesalahan tersebut.

“Pada waktu itu, tiada lagi mahkamah di Malaysia yang bidang kuasa untuk mendakwa dan menghukum pelaku kesalahan ini. Ini sekali gus akan membenarkan perbuatan songsang dan tidak berakhlak ini bermaharajalela. Malah saya bimbang jika inilah strategi yang sedang disusun oleh golongan Liberal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, Ahmad Fadhli berkata tiada jalan lain yang boleh dilakukan bagi mempertahankan perundangan syariah, selain dari menggubal Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dengan mendefinisikan semula maksud ‘precepts of Islam’ (perintah agama Islam).

Beliau berkata negeri harus diberikan kuasa menggubal peruntukan jenayah syariah sekalipun ia di peruntukkan di bawah Undang-undang Jenayah Sivil dalam Kanun Keseksaan, selagi mana ianya merupakan kesalahan yang menyalahi perintah agama Islam.

“Ini penting bagi memastikan kedudukan dan kedaulatan perundangan syariah, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak dicabar dan diperlekeh oleh pihak-pihak yang membawa ideologi Liberalisme dan Sekularisme dalam negara ini.

“Justeru saya amat bersetuju dengan tuntutan ini dan menegaskan bahawa saya menyokong sepenuhnya agar pindaan ini di laksanakan.

Tiada jalan lain untuk menyelamatkan perundangan syariah yang telah dicabar, selain dari usaha bersungguh-sungguh semua pihak dalam memastikan keharmonian di antara Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri yang sedia ada.

“Saya juga menyeru semua umat Islam, tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang supaya bersama menyokong petisyen sekumpulan peguam dan pengamal undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan ini.

“Kesatuan semua pihak diperlukan dalam memartabatkan perundangan syariah di Malaysia, supaya tidak diperlekeh dan direndahkan oleh pihak yang anti pelaksanaan syariat,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo