NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat Umno kepada PPBM buat DAP kembali riang?





Oleh Sarfarizmal Bin Md Saad

“Kita tak perlukan DAP untuk memecahbelahkan bangsa Melayu, cukup sekadar sesama Melayu yang bertindak mengikut kehendak kabilah…”

Itulah antara bait-bait kata seorang pejuang bangsa yang tidak memegang ideologi mana-mana parti politik kepada saya baru-baru ini, ketika sedang menikmati secawan kopi panas dan kueh lompat tikam.

Kewajarannya pasti diragui kerana sejak dahulu kala, DAP dicanang-canang sebagai sebuah ideologi yang mahu memecahkan orang Melayu di tanah ini.

Sebab itu Umno muncul menjadi organisasi popular sebelum ‘Alaf Baru’ tiba, kerana orang Melayu dan Bumiputera marah terhadap DAP. Rata-rata umat Melayu dimomok dengan dalil bahawa ‘chuavinis’ itu pemusnah kepada permuafakatan kaum terbesar negara ini.

Jika dahulu, mungkin DAP saja yang dipandang sebagai pemecah belah kaum majoriti, namun sekarang indikator itu nampaknya kian bercambah.

Lontaran hujahan itu ternyata tepat dalam situasi sekarang. Kita dapat baca di media massa dan media sosial mengenai kesahihan pihak Umno mengutus surat kepada Presiden Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari 2021.

Dalam surat itu jelas tertulis Umno mahu putuskan kerjasama dengan PPBM ketika berhadapan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), namun tetap sokong kerajaan semasa yang sedang beroperasi melawan virus pandemik.

Malah surat itu di balas kembali oleh PPBM dengan menyatakan ia cukup memberi implikasi besar terhadap suatu perancangan kerjasama di masa hadapan.

Tidak kisahlah maksud kerjasama itu mungkin PPBM terpaksa tunduk terima kekalahan di tangan Barisan Nasional (BN) bagi beberapa kerusi peringkat Parlimen atau DUN dalam pilihan raya akan datang, atau benar-benar membawa maksud PPBM sebenarnya berhajat untuk bergabung jalin dengan Umno suatu hari nanti.

Yang pasti, situasi ini memaksa Umno dan BN bergerak secara solo dalam PRU15, walaupun sudah ada proses pembahagian kerusi secara musyawwarah dengan PAS sebelumnya.

Adakah keadaan ini sihat dan mampu membawa ‘tuah’ kepada Umno/BN?

Jawapan itu hanya boleh ditentukan oleh ‘mood’ pengundi melalui peti undi sahaja. Tidak dinafikan majoriti pengundi sekarang berasa terhimpit, tertindas dan tertipu oleh tindak tanduk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir selama 22 bulan.

Mudah cerita, andai PRU15 dilakukan pada tahun 2020 lalu, jumlah kerusi dimenangi PH akan berkurangan secara mendadak. Ya, rakyat benci dan marah dengan PH yang bukan saja gagal, malah biadap terhadap rakyat.

Namun pandemik empunya angkara, bahaya untuk kita lakukan PRU15 segera pada tahun lepas. Sekarang kita sudah berada di tahun 2021 dimana setahun pemerintahan PH telah terkorban. Rakyat memang tak lupa, tetapi rakyat mudah terkasima dengan bayangan yang ada di hadapan mata. Andai propaganda 2018 berulang pada waktu ini, tidak mustahil PH akan mendapat tempat di hati rakyat untuk kali kedua. Walaupun ia menggambarkan ‘pisang berbuah dua kali’.

Tambahan lagi dengan situasi ini, tiga penjuru hampir pasti berlaku di setiap kerusi dalam PRU15. Jika Perikatan Nasional (PN) terus berkeras untuk berhadapan dengan Umno/BN, rakyat mungkin memilih pihak ketiga, sama ada PH atau calon ‘underdog’ lain yang agak berkarisma dan ‘good looking’.

Baru-baru ini pun, Astro AWANI melaporkan sekiranya BN tidak bersama PN dalam pilihan raya akan datang, PH mempunyai peluang cerah untuk kembali menjadi kerajaan, dakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PH sudah lama buat kerja. Mereka cukup ‘simpanan sokongan’ di kawasan-kawasan terpilih, hanya memerlukan 10 hingga 15 peratus orang Melayu sahaja untuk mereka dapat membentuk kerajaan baharu pasca PRU15.

Dan ia tidak mustahil sekiranya pilihan undi orang Melayu kian berpecah, PH berpotensi untuk memperoleh lebih dari 15 peratus sokongan orang Melayu, terutama yang merupakan pengundi pertama kali berusia 18 tahun hingga 21 tahun.

Jadi, tindakan perpecahan parti-parti politik berteraskan bangsa Melayu ini sekali gus memberi keriangan dan kegembiraan buat DAP yang sedang menguasai PH dan masih merancang untuk kembali menjadi kerajaan buat kali kedua.

Jika mereka kembali menjadi kerajaan kali kedua, hayatnya boleh mencapai sehingga 60 tahun di bawah kepimpinan mereka. Tidak mustahil walau kita tidak mahu ia terjadi. – Bebasnews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo