NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU-15 : Kerjasama itu penting tetapi dengan siapa?


MASIH ingat lagu ini….”Apa yang penting? Kerjasama, Apa yang penting? Kerjasama…” itu lagu Wonder Pets, siri animasi kanak-kanak keluaran Amerika Syarikat yang juga dialih suara dalam bahasa Melayu dan disiarkan TV9 mulai tahun 2008.

Kini ‘lagu itu’ sedang dinyanyikan oleh parti-parti politik dalam persiapan mereka menyambut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Pelbagai versi kerjasama sedang ‘dinyanyikan’ oleh parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

UMNO di peringkat Pusat memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu padahal Februari lalu menafikan laporan beberapa media yang mendakwa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Di Sabah disebabkan UMNO ada kuasa autonomi, maka Pengerusinya Bung Moktar Radin menegaskan UMNO Sabah tetap akan bekerjasama dengan Bersatu menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditubuhkan sebelum ini.

Di Perlis, Pengerusinya, Shahidan Kassim menyatakan kesediaan UMNO negeri itu bekerjasama dengan Bersatu.

Ada juga pengerusi Perhubungan UMNO yang menyatakan kesediaan untuk menerima kerjasama daripada mana-mana pihak bagi menghadapi PRU-15. Apakah ini juga bermakna termasuk Bersatu?

Di pihak pembangkang, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata:
“Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tak berbangkit setakat ini, walaupun kita jelas…kita dukung siapa saja yang boleh terima yang kita (PH) dukung tadbir urus yang baik, tolak rasuah, tolak segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa dan jaga (hak) orang Melayu, Bumiputera dan semua kaum,”.

Tetapi pendirian DAP amat jelas apabila Setiausaha Agung, Lim Guan Eng menegaskan pendirian parti itu konsisten tidak ada kerjasama dengan UMNO
tetapi bersedia bekerjasama apabila ia akan memberi manfaat kepada rakyat.

Pas pula yang merupakan sekutu UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan sekutu Bersatu dalam PN mahu bekerjasama dengan kedua-duanya.

Begitulah ‘lagu kerjasama’ yang sedang dinyanyikan parti politik. Itu belum ambil kira parti politik lain dan pemimpin sama ada dalam parti atau ‘jurucakap’ di luar parti. Selagi tidak PRU, maka selama itulah isu kerjasama ini terus jadi bualan – sama ada akhirnya boleh membantu atau memusnahkan.

Adakah akan wujud kerjasama ‘pintu belakang’ ? Apakah sebenarnya maksud kerjasama itu dalam konteks PRU-15? Contohnya di Perlis apakah kerjasama itu membawa makna UMNO Perlis sedia memberi kerusi (Parlimen Kangar) kepada Bersatu sedangkan sebelum ini, BN mahu bertanding di tiga kerusi itu.

Berbaloikah kerjasama dalam kalangan parti politik apabila parti hanya menjadi tukang kempen kepada parti lain? Jika ada parti politik sedemikian baguslah.

Tetapi semakin banyak yang bercakap dan memberi pandangan mengenai kerjasama ini maka semakin bercelaru anggota parti dan juga rakyat yang bakal menjadi pengundi.

Tidak mustahil isu kerjasama ini boleh menjejaskan perpaduan parti tertentu yang akhirnya menguntungkan pihak lawan. Kata orang yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Rakyat sedang memerhati ‘sandiwara’ ini.

Mereka sedang menilai apakah pilihan terbaik untuk mereka pada PRU ini, bukan pilihan terbaik untuk orang politik sama ada yang bernama Zahid Hamidi , Anwar Ibrahim, Hadi Awang , Mat Sabu atau Lim Guan Eng.

Pada PRU-15 Ini, kerjasama itu amat penting tetapi bagaimana dan dengan siapa? PRU kali ini lain daripada yang lain apabila setakat ini dua kerajaan dibentuk selepas PRU-14. Kali ini rakyat perlu memuktamadkan pendirian supaya keputusan seperti PRU-14 tidak berulang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo