Pemandu Uber mahu akses data dikembalikan



LONDON: Pemandu Britain yang memenangi kes mahkamah terhadap Uber Technologies Inc. kali ini mengharapkan kemenangan dalam usaha mendapatkan kembali data mereka yang tersimpan di aplikasi perjalanan itu.

Bekas pemandu Uber, James Farrar dan Yaseen Aslam sedang menunggu Mahkamah Daerah Amsterdam untuk memutuskan secepatnya minggu ini sama ada syarikat perkhidmatan e-panggilan gergasi itu melanggar peraturan privasi Eropah dengan menahan maklumat pemandu dan penghantaran yang disimpan.

"Jika anda pindahkan semuanya tanpa pengetahuan Uber mereka akan kata 'anda adalah bos anda sendiri, kami tak sentuh apa-apa' namun sebenarnya mereka mengawal kami. Jadi kami perlu dapatkan ketelusan dalam hal ini," kata Farrar.

Persatuan Aplikasi Pemandu dan Penghantaran mahu Uber memberi pemandu akses kepada data seperti penilaian mereka, maklumat mengenai perjalanan yang dilalui, prestasi mereka berbanding pemandu lain dan nota yang dibuat oleh pekerja Uber pada profil dalaman mereka.

Peguam mewakili penuntut, Anton Ekker berkata, walaupun Uber memberi pemandu akses kepada beberapa data peribadi, skopnya terbatas dan sering tidak lengkap.

Farrar juga memaklumkan, teknologi Uber juga digunakan untuk menggantung beberapa pemandunya yang tidak berpuas hati dengan penjelasan syarikat mengenai mengapa mereka disekat daripada aplikasi.

Penuntut meminta ganti rugi daripada Uber, serta denda AS$11,900 (RM48,897) untuk setiap hari syarikat itu gagal mengembalikan akaun pemandu yang terjejas, jika keputusan mahkamah memihak kepada mereka.

Jurucakap Uber berkata, Uber mengambil serius keputusan untuk menggantung atau mengakhiri perkhidmatan mana-mana pekerja di platform tersebut.

"Pemandu dan orang lain yang menggunakan aplikasi kami, dapat meminta akses ke data yang dapat kami berikan secara sah. Kami akan memberi penjelasan apabila kami tidak dapat memberikan data tertentu, seperti ketika data tersebut tidak ada atau mendedahkan ia akan melanggar hak orang lain di bawah GDPR. Sebagai sebahagian daripada proses biasa kami, pemandu dalam kes ini hanya dinyahaktifkan setelah tinjauan manual oleh pasukan pakar kami," ujarnya.

Jurucakap juga merujuk kepada catatan blog yang diterbitkan oleh syarikat pada Disember lalu mengenai dasar syarikat yang mengatakan bahawa pihaknya sentiasa memastikan keselamatan semua pengguna aplikasi dan teknologi mereka selain mendakwa ia dilaksanakan selaras dengan peraturan Eropah.

Kes tersebut telah difailkan Farrar dan Aslam lima tahun lalu ketika mereka mula melobi hak dan faedah pemandu.

Pada 19 Februari lalu, mereka memenangi kes tersebut sekali gus membuka ribuan tuntutan serupa terhadap syarikat gergasi Silicon Valley dan akan mengubah cara ekonomi beroperasi di negara itu. – AGENSI

https://www.utusan.com.my/ekonomi/2021/03/pemandu-uber-mahu-akses-data-dikembalikan/

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post