UMNO berhasrat kembali PM



KUALA LUMPUR: Kedudukan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu melayakkannya mengemudi pentadbiran negara dan mengisi jawatan Perdana Menteri menerusi Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO dan BN mahukan kedudukan itu atas rekod menerajui negara sejak 60 tahun lalu.

"Jawatan Perdana Menteri mesti jadi milik UMNO dan BN. Kita sudah biasa jadi induk dan induknya menyayangi semua, bukan Melayu saja kita jaga, tapi semua kaum.

"Contohnya kalau ada sembilan anak, kita sayang semua. Peranan kita sudah terbukti selama 60 tahun dan kita berjaya walaupun ada sedikit pembaikan kita kena buat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mohamad berkata, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, BN akan kekal menjadi blok sendiri dan belum memutuskan sebarang kerjasama dengan mana-mana blok parti termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

"BN akan bertanding atas tiket BN. Kita gunakan asas BN. BN tidak boleh terikat dengan yang lain. Sebarang rundingan yang BN mahu lakukan mesti diadakan secara konsesus. Kita buka seramai yang boleh untuk sesiapa yang mahu menyertai BN.

"Kita mesti berevolusi, kita tidak boleh jadi ekslusif tapi inklusif," katanya.

Timbalan Pengerusi BN itu juga berkata, UMNO akan mengukuhkan kerjasama dengan PAS, namun terpulang kepada parti itu untuk bersama dengan BN atau sebaliknya pada PRU akan datang.

Katanya, UMNO dan BN sedia berunding soal kerusi dengan PAS.

"Rundingan pun sedang berjalan. Saya kata dulu, kita mesti menang sekurang-kurangnya 80 kerusi, maka kita kena bertanding lebih iaitu 96 kerusi.

"Kalau kita boleh berkerjasama dengan PAS, kita akan rundingkan. Kalau tidak kita akan bertanding lebih (daripada 96 kerusi)," katanya.

Menjawab isu kerjasama dengan PKR, Mohamad berkata, itu hanya khabar angin dan tidak pernah diputuskan oleh parti.

"Bagi parti itu satu khabar angin politik. Ia bukan keputusan parti. Apa juga gerak kerja kita akan kembalikan kepada ahli dan parti buat keputusan.

"Tidak ada mana-mana individu dan kelompok untuk kita bekerjasama dengan sesiapa. Parti yang akan buat keputusan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/800739/pau-2020-umno-layak-isi-jawatan-pm




Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post