NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Selangor tolak sebarang usaha pecah belahkan MN, PN


– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

9 MAC : PAS Selangor akan menolak sebarang usaha yang dilihat mampu merungkaikan perpaduan yang sedia terjalin di antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya sentiasa melakukan perbincangan tentang perkara itu di samping akan terus memperkasakan MN dan pertahankan PN.

Menurut beliau, MN Selangor akan turun padang bertemu dengan kepimpinan di peringkat parlimen untuk terus memperteguhkan lagi kebersamaan bagi kesiapsiagaan menghadapi pilihanraya.

“Kesediaan MN Selangor untuk terus berkhidmat kepada rakyat, tagline “Bersama MN Selangor” telah menjadi pilihan. Program-program rakyat akan terus diagendakan secara bersama secara lebih terancang lagi.

“Dengan meletakkan agenda rakyat sebagai fokus utama, MN Selangor sepakat menolak apa juga bentuk agenda yang berbentuk kepentingan pihak-pihak atau individu tertertentu dan terus berusaha memperkukuhkan kerajaan PN,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hanafi Zulkapli pula memberitahu PAS yakin dengan kesatuan rakan-rakan politiknya, MN dan PN dalam mengurus perbezaan merupakan formula terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat untuk memberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PAS tidak pernah main-main dalam memperkukuhkan MN dan sentiasa serius mempertahankan PN. Inilah tanggungjawab yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi kepada Badan Perhubungan Negeri agar membawa naratif memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN.

“Selepas ini, mungkin rakyat akan melihat pertemuan PAS dengan rakan-rakan parti komponen dalam PN pula untuk membuka ruang musyawarah bersama bagi merealisasikan mempertahankan kerajaan dan gabungan politik demi kebajikan dan kebaikan untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Muafakat Nasional peringkat Negeri Selangor telah diadakan malam tadi yang dipengerusikan bersama Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar di Pejabat Badan Perhubungan Umno Selangor, malam tadi.

Mesyuarat itu melibatkan ahli jawatakuasa badan perhubungan negeri, pimpinan dewan pemuda dan pimpinan wanita serta muslimat kedua-dua parti itu.

Dalam pada itu, Hanafi turut berkongsi kelebihan MN peringkat negeri Selangor adalah boleh bermusyawarah, keterbukaan dalam menerima sisi pandang berbeza yang serius mampu ditukar kepada menghormati dan boleh berseloroh.

Menurutnya, negeri itu adalah cerminan sebenar wajah Malaysia apabila dilihat dari sudut jumlah kerusi komposisi pengundi mengikut umur, bangsa, dan non-partisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen.

“Selangor ia sebenarnya mencerminkan wajah sebenar Malaysia. Undi anak muda berada pada peratus yang cukup tinggi dalam menentu parti mana dan gabungan manakah yang akan diberi mandat untuk mengurus tadbir Selangor.

“Saya menyuarakan kebimbangan dengan perkembangan celik politik anak muda kini bagi menghadapi PRU15. Parti perlu memberi perhatian kepada anak muda yang tidak berparti kerana bukan sahaja belum menentukan parti mana menjadi pilihan namun masih ramai yang belum mendaftar sebagai pemilih.

“Jika kita hanya mengharapkan undi teras anak muda dalam parti masing-masing, kita akan ketinggalan dalam mencapai hasrat membawa mandat rakyat dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,”katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo