NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nama Malaysia Sudah Tercatat Dalam Buku Sejarah Sejak 129 Tahun Lalu


Seremban: Biarpun nama Malaysia hanya diguna pakai secara rasmi pada 1963, nama itu didapati tercatat dalam sebuah buku sejarah negara ini bertajuk 'India and Malaysia Illustrated' yang ditulis penulis luar negara, Bishop Thoburn.

Berdasarkan catatan pada bahagian depan, buku berkenaan diterbitkan pada 1892 iaitu sekitar 129 tahun lalu di New York, Amerika Syarikat.

Pengkaji sejarah tempatan dan pemburu barangan antik, Wan Ahmad Arshad, 55, berkata, beliau membeli buku itu daripada seorang individu yang juga pengumpul barangan antik berasal dari Ipoh, seminggu lalu.

"Buku setebal 562 muka surat ini mengandungi dua bahagian dengan bahagian pertama mengisahkan sejarah India manakala bahagian kedua membabitkan tanah air kita.

"Apa yang menariknya ialah, penulis ini sudah menggunakan nama Malaysia dalam buku ini walaupun nama itu digunakan secara rasmi pada 1963, sebaik pembentukan atau penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

"Penulisan buku ini yang menggunakan bahasa penghantar bahasa Inggeris turut menyentuh banyak lokasi sama ada negeri, pekan dan bandar dalam negara ini.

"Selain itu, terdapat beberapa gambar Sultan dan Raja-Raja Melayu dipaparkan dan kaitannya dengan sejarah Tanah Melayu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Senawang, di sini, hari ini.

Wan Ahmad yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) berkata, buku berkenaan yang didakwanya dikenal pasti sebagai naskhah asal turut menceritakan mengenai usaha kumpulan pihak barat dalam menyebarkan ajaran Kristian di rantau ini.

Beliau yang sudah terbabit dalam bidang pengkajian sejarah sejak hampir 30 tahun, berkata, penulis buku berkenaan menyebut bahawa usaha pihak barat menyebarkan agama Kristian di Malaysia gagal, berbanding di India.

"Dalam buku ini ada tercatat usaha kumpulan barat untuk menyebarkan ajaran Kristian menemui kegagalan kerana disebabkan kekuatan dan pegangan tinggi terhadap Islam oleh rakyat negara ini.

"Mereka (barat) akui sukar kerana orang tempatan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran selain Islam.

"Berdasarkan buku ini, kegiatan penyebaran ajaran Kristian sudah mula lebih 100 tahun lalu di negara ini," katanya.

Wan Ahmad berkata, pihaknya menawarkan mana-mana institusi pendidikan dan badan pengkaji sejarah yang berminat berkongsi atau mengkaji tentang kandungan sejarah dalam buku terbabit.

Beliau berkata, pihak universiti harus memiliki buku itu sebagai suatu daripada bahan dalam membantu usaha penyelidikan dan kajian kerana ia mempunyai kaitan dengan sejarah negara ini.

- HMetro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo