NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memperingati Perang Gallipoli: Tersungkurnya Barat di Tangan Khilafah Uthmaniyyah.

Perang Gallipoli, Dardanelles Campaign atau Janagal’a dalam bahasa Arab adalah di antara siri-siri peperangan yang berlaku dalam Perang Dunia Pertama antara pakatan Turki yang disokong oleh Jerman dan Austria - Hungry menentang tentera bersekutu iaitu pakatan di antara Britain, Perancis dan Rusia.

Gallipoli adalah sebuah bandar yang terletak di Selat Dardanelles yang menghubungkan antara Laut Mediterranean, Laut Marmara dan Laut Hitam. Lokasi ini terletak di tempat yang amat strategik dari sudut geopolitik mahupun ekonomi kerana ia menjadi pintu masuk daripada lautan lepas untuk ke Istanbul dan laluan penting perdagangan laut.

Pada akhir abad ke 18, ia adalah permulaan kepada kemunduran Khilafah Uthmaniyyah yang dibebani dengan masalah hutang yang banyak dan masalah-masalah dalaman yang berlarutan.

Walaupun Sultan Abdul Hamid II yang memerintah antara tahun 1876 - 1908 berusaha untuk memulihkan kembali reputasi khilafah dengan pembaharuan-pembaharuan yang dilakukannya namun ia tidak berjaya malah keadaan menjadi bertambah buruk.

Situasi Khilafah Uthmaniyyah ketika itu sangat parah khususnya krisis dalaman yang semakin tidak terkawal yang didokong oleh musuh-musuh Islam yang menaja gerakan pembaharuan sehingga memaksanya untuk melepaskan jawatan.

Kuasa Eropah mahupun Barat yang semakin kuat pengaruhnya melihat keadaan ini sebagai satu peluang keemasan untuk meruntuhkan Khilafah Uthmaniyyah dan seterusnya menawan kembali Istanbul bagi membalas dendam kesumat kejatuhan Constantinople di zaman Sultan Muhammad Al-Fateh dahulu.

Akhirnya tercetuslah Perang Dunia Pertama dan dilancarkan kempen Perang Gallipoli bagi menawan laluan penting yang menghubungkan Turki dan Eropah iaitu Selat Dardanelles. Tujuan utamanya adalah untuk memisahkan penguasaan Khilafah Uthmaniyyah daripada Eropah.

Perikatan Barat yang diketuai oleh Britain bersama-sama dengan Perancis dan Rusia melancarkan kempen peperangan ini yang bermula pada 17 Februari 1915 dengan mengerahkan bala tentera laut yang amat besar yang berjumlah hampir 100 buah kapal dalam pelbagai kategori untuk menyerang kedudukan tentera Uthmaniyyah di Selat Dardanelles.

Tentera bersekutu tidak mendapat tentangan yang hebat dari tentera Uthmaniyyah sehingga Winston Curchill yang memimpin tentera Britain pada ketika itu dengan angkuhnya menyebut “ Kita akan minum teh di kota Istanbul “ sebagai isyarat bahawa kota Istanbul akan ditakluk oleh tentera bersekutu pimpinannya.

Namun ibarat pepatah melayu menyebut “ disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari “. Kapal - kapal tentera bersekutu yang berkumpul di Selat Dardanelles telah masuk ke dalam perangkap tentera Uthmaniyyah lalu dibedil bertalu-talu dan berjaya ditenggelamkan sejumlah besar daripadanya.

Setelah serangan melalui laut gagal, pakatan tentera Bersekutu menurunkan tentera bagi melancarkan serangan darat, antaranya ialah ketumbukan tentera Australia dan New Zealand Army Corps ( ANZAC ) yang terkenal dengan lasak dan ganas.

Namun kemaraanya berjaya disekat oleh tentera Uthmaniyyah yang menggunakan strategi bertahan di kubu-kubu yang menyebabkan musuh-musuh mereka kempunan sehingga kebanyakan mereka mati kebuluran dan ditimpa pelbagai penyakit.

Akhirnya setelah hampir setahun kempen peperangan ini berlangsung, pihak tentera Bersekutu mengaku kalah. Peperangan yang meragut hampir 300 ribu nyawa tentera bersekutu dan 250 ribu syahid di pihak Uthmaniyyah ini dikenang sebagai antara salah satu perang agung di zaman moden khususnya bagi umat Islam Turki kerana ia ibarat kekalahan tentera Ahzab moden yang mahu menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyyah.

Kemenangan ini diingati dan diraikan oleh rakyat Turki setiap tahun pada tanggal 18 Mac sebagai simbol kemenangan mereka ke atas pakatan Barat dan menjadi pencetus kepada penubuhan Turki moden di bawah pimpinan Mustafa Kamal Attaturk.

Setiap kali kemenangan ini diraikan, nama Sayit Ali Cabuk sentiasa menjadi sebutan setiap rakyat Turki. Beliau hanyalah tentera biasa Khilafah Uthmaniyyah yang diberikan tanggungjawab mengawal unit meriam di satu bukit strategik yang terletak berhadapan Selat Dardanelles.

Ketika unitnya diserang oleh pakatan tentera Bersekutu, hanya beliau yang terselamat. Walaupun tercedera, beliau menggagahkan dirinya untuk bangun dan memikul peluru meriam seberat 250 kg lalu membedil kapal perang utama British dan berjaya menepati sasaran serta menenggelamkannya.

Tentera Uthmaniyyah yang menyaksikan peristiwa ini melaungkan takbir seolah-olah menyaksikan turunnya pertolongan Allah kerana kepentingannya berjaya menyekat kemaraan tentera Bersekutu. Ia adalah karamah yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman apabila berdepan dengan musuh-musuh Islam.

Apabila mengingati sejarah peperangan ini, saya percaya ia mempunyai kaitan dengan peristiwa berdarah Dahagi di Singapura pada tahun 1915 apabila lebih separuh daripada tentera India Muslim dari 5th Light Infantry, Regimen Askar India di bawah British dan 100 tentera Melayu Islam bangkit memberontak ke atas penjajah British sehingga mengakibatkan 33 orang tentera British terkorban.

Saya juga percaya pemberontakan mereka adalah kerana keenganan mereka untuk dihantar berperang menentang saudara-saudara mereka iaitu tentera Khilafah Uthmaniyyah di Turki dalam kempen Perang Gallipoli. Malah dipercayai juga tentera - tentera India Muslim tersebut ditempatkan di Singapura oleh British sebagai persediaan untuk berperang bagi pihak British di Eropah termasuk di Turki.

Di Singapura ketika itu, sentimen orang - orang Melayu Islam begitu kuat menyokong Khilafah Uthmaniyyah kerana Khilafah Uthmaniyyah adalah satu - satunya legasi kesinambungan Kerajaan Islam yang masih utuh di dunia.

Tambahan pula ketika itu, Khilafah Uthmaniyaah diserang hebat oleh pakatan tentera British, Perancis dan Rusia serta ianya menambahkan lagi simpati orang Melayu Islam Singapura dan menaikkan lagi semangat penentangan mereka terhadap British hingga pada ketika itu wujud seruan jihad menentang British dan Perancis di Singapura.

Aktivis seperti Kasim Mansur, pendakwah Nur Alum Shah, bekas editor Neracha, K. Anang dan ramai lagi orang Melayu Islam bangkit menentang British kerana tindakan mereka bersama - sama pakatan tentera bersekutu menyerang Turki.

Tindakan British menempatkan tentera India Muslim di Singapura juga memakan diri apabila tentera - tentera tersebut turut bersama dengan orang Melayu Islam di Singapura menentang British. Sentimen anti British semakin memuncak dengan akhbar - akhbar berbahasa Melayu Singapura seperti Neracha bertindak menempelak British dengan menyiarkan berita mengenai peperangan Gallipoli di Turki yang menambahkan lagi simpati orang Melayu Islam Singapura terhadap Khilafah Uthmaniyyah.

Kasim Mansur, Nur Alum Shah, K. Anang dan ramai lagi pejuang serta aktivis Melayu Islam ditangkap, diseksa dan dihukum malah ada yang dibuang negeri. Akhbar - akhbar berbahasa Melayu seperti Neracha ditutup malah usaha mengumpul dana dan solat hajat bagi mendoakan kemenangan untuk Khilafah Uthmaniyyah turut diharamkan oleh British.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh British, ia tidak sedikit pun melunturkan semangat dan sokongan orang - orang Melayu Islam di Singapura ketika itu terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Akhirnya setelah semakin mendalam kebencian dan kemarahan terhadap British, peristiwa Dahagi pada 1915 adalah interpritasi kebencian menebal orang Melayu Islam Singapura termasuk tentera Melayu Islam dan tentera India Muslim terhadap British.

Kemenangan Perang Gallipoli bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Turki bahkan juga umat Islam secara umumnya kerana Khilafah Uthmaniyyah adalah simbol kekuatan umat Islam yang terakhir sebelum ianya dileraikan pada tahun 1924 oleh musuh - musuh Islam.

Tentera-tentera Uthmaniyyah yang menyertai peperangan ini dan sebahagian mereka yang gugur syahid terdiri daripada umat Islam dari bangsa Arab, Kurdis, Balkan di samping orang Turki sendiri yang menjadi asas utama kekuatan tentera Khilafah Uthmaniyyah.

Ia jelas menunjukkan bahawa paksi keutuhan kesatuan umat Islam adalah tidak mengira bangsa, warna kulit, keturunan dan kekuatan namun apabila berpegang dengan agama walaupun ketika mereka lemah berhadapan dengan musuh yang jauh lebih kuat daripada mereka, mereka iaitu umat Islam akan bersatu dan bersama - sama menghadapinya demi menjaga maruah dan kesucian Islam.

Peperangan Gallipoli seharusnya menjadi iktibar kepada kita umat Islam bahawa tiada apa yang lebih mulia selain daripada menjaga kesucian dan keluhuran Islam kerana hanya dengan Islam serta kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, umat dan Dunia Islam akan menemui kekuatan dan perpaduan yang dicari - cari selama ini.

Untuk mengecapi kekuatan dan perpaduan, banyak pahit manis dan ranjau berduri yang harus ditempuhi kerana ia bukan mudah untuk dikecapi. Namun setelah ia berjaya diperolehi, jangan pula kita gadaikannya hanya kerana cita - cita dan dendam kesumat yang tidak nampak faedahnya ataupun untuk memperolehi keuntungan serta kepentingan peribadi semata - mata.

Perpaduan adalah lambang kekuatan umat Islam sejak dari zaman bermula Hijrah Rasullulah SAW. Kota Madinah Al Munawarah adalah simbol perpaduan umat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua umat Islam.

Kota Suci Baitul Maqdis yang kita semua kenali dengan peristiwa Isra’ Mikraj sebenarnya saat ini melambangkan kelemahan dan kehancuran perpaduan umat dan Dunia Islam. Jika umat dan Dunia Islam kuat dan bersatu padu, sudah tentunya rakyat Palestin tidak merempat di tanah air mereka sendiri dan zionis bermaharajalela di bumi Palestin.

Penyakit kelemahan perpaduan dan kesatuan umat serta Dunia Islam saat ini sudah merebak di seluruh pelusuk dunia dengan setiap negara Dunia Islam berserta umatnya menghadapi sindrom yang sama. Sebelum menjadi lebih parah, ambillah iktibar dan kuatkan kembali kesatuan dan perpaduan umat dan Dunia Islam dengan menjadikan Islam sebagai asasnya.

Insyallah, jika kita berpegang teguh kepada ajaran Islam berserta Islam yang sebenar, Allah SWT tidak akan menghampakan hamba - hambaNya malah akan memakbulkan doa - doa kita. Semoga Islam kembali bangkit dan bersinar diseluruh pelusuk dunia serta menguatkan kembali kesatuan dan perpaduan umat dan Dunia Islam.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo