NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beri ruang salah guna kalimah Allah, kelirukan umat Islam

BANGI – Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama Kristian bercanggah dengan keputusan ‘precedent’ Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, keputusan itu akan memberi ruang kepada penyalahgunaan kalimah Allah yang suci dan perkara berkaitan untuk dihina.

Malah, katanya, ia juga akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan bukan Islam, di mana pintu murtad atau pemikiran pluralisme akan terbuka luas.

“Keputusan ini menyebabkan umat Islam hilang keyakinan kepada Majlis-Majlis Agama Islam yang dilihat lesu dalam menjaga kesucian Islam.

“Kenapa institusi ini kelihatan seolah-olah tidak bertenaga dalam menangani isu-isu seperti ini,” katanya kesal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media khas PEMBELA hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Atas faktor bimbang, rata-rata umat Islam negara ini meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan keputusan berkenaan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya menyelar mana-mana pihak yang dilihat bersungguh-sungguh untuk menggunakan kalimah Allah, yang jelas tidak sensitif dan sengaja mahu menimbulkan perselisihan di kalangan penganut agama.

Lebih teruk, katanya, ada pemimpin DAP yang melahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah semalam.

“PEMBELA berpendirian tegas menghalang cubaan mana-mana pihak yang menyalah guna kalimah suci Allah sesuai dengan sumpah YDPA (Yang di-Pertuan Agong) untuk menjaga kesucian agama Islam serta sejajar dengan perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan; kawalan pengembangan doktrin, selain Islam kepada orang Islam.

“Mana-mana usaha untuk mengelirukan umat Islam di negara ini harus diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa.

“PEMBELA berpandangan takrifan kalimah Allah selain dari maksud seperti terkandung dalam surah al-Ikhlas boleh mengundang kepada mencemar kesucian kalimah Allah dan tertakluk pada perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan: halangan kepada pertentangan undang-undang am berhubung ketenteraman awam,” jelasnya.

Pada masa sama, Aminuddin mempersoalkan pihak berkaitan mengenai jaminan sekiranya kalimah Allah tidak disalahguna sepertimana yang dibenarkan oleh penghakiman mahkamah untuk hal dalaman dan pendidikan penganut Kristian.

Selain itu, pihaknya turut mempersoalkan pihak berkaitan mengenai alasan larangan penggunaan istilah-istlah tertentu yang tersenarai di peringkat negeri yang tidak diambikira.

“Kegagalan menghormati hal ini akan mengakibatkan percanggahan keputusan perundangan dan bidang kuasa.

“PEMBELA juga ingin mengingatkan keputusan ‘precedent’ sebelum ini sudah mengambilkira kemajmukan masyarakat di Negara ini serta kedudukan Islam yang utuh didalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo