NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bank Islam perkukuh asas tawaran bank digital




7 MAC: Bank Islam Malaysia Bhd, menerusi bahagian baharunya, Pusat Pengalaman Digital (CDX), telah secara aktif memperkukuhkan asas penubuhan sebuah bank digital dibangunkan di atas satu platform fleksibel yang membolehkan penggiat industri teknologi kewangan (fintech), pasaran digital dan rakan strategik lain untuk menyertainya secara langsung.

Dalam proses penubuhan bank digital serba baharu ini, dua penggiat infrastruktur dipilih untuk bekerjasama dengan Bank Islam, iaitu Mambu, sebuah platform perbankan SaaS termaju di pasaran, dan Experian, sebuah firma perkhidmatan maklumat global, kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.


Sementara itu, Bank Islam juga baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan penggiat fintech tempatan, Pod, untuk membangunkan penawaran produk digital baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pendekatan digital ini akan menyaksikan Bank Islam menerapkan teknologi generasi terbaharu seperti perbankan digital Cloud Native dan sistem pengesahan identiti digital Electronic Know Your Customer, (eKYC) pada produk dan perkhidmatannya.

Ini akan membolehkan penawaran produk perbankan tanpa cawangan fizikal bagi akses pelanggan yang lebih meluas, khususnya dalam kalangan segmen celik teknologi.

“Kami yakin menerusi kerjasama ini, Bank Islam dapat menyediakan akses yang lebih luas kepada pasaran dengan memanfaatkan teknologi digital.

“Pada masa yang sama, usaha ini akan terus mendorong transformasi digital sektor kewangan, terutamanya dalam industri perbankan Islam,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mohd Muazzam berharap kerjasama itu akan menjadi contoh untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan firma fintech dengan institusi kewangan yang akhirnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

Penawaran penyelesaian CDX dijangka berada dalam pasaran pada suku kedua tahun ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo