NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Badan khusus selesai pertindanan undang-undang Syariah-Sivil perlu dibentuk




4 MAC: Masalah pertindanan antara undang-undang syariah dan sivil di negara ini dapat diatasi sekiranya satu badan atau majlis khusus dibentuk melibatkan sebahagian daripada mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, badan itu mungkin boleh dinamakan Mahkamah Perlembagaan dengan objektif penubuhan untuk menyelesaikan masalah dua sistem perundangan yang diamalkan di Malaysia.

“Bila ada dual legal system (dua sistem perundangan), kita tidak boleh elak daripada sedikit pertindanan antara undang-undang sivil dan syariah.

“Bila ada pertindihan, kita perlu ada satu badan yang lain untuk menyelesaikan kemelut bertindan ini,” katanya ketika ditemu bual dalam slot Bicara Pembela bertajuk Perundangan Syariah di Malaysia yang disiarkan secara dalam talian melalui akaun Facebook Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) malam tadi.

Zainul Rijal, berkata antara contoh yang merujuk kepada pertindanan antara undang-undang syariah dan sivil sebelum ini ialah kes seorang wanita yang dilahirkan di luar nikah, berbapakan seorang Muslim dan ibu penganut agama Buddha yang berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai bukan Muslim.

Satu lagi contoh pertindanan yang dirujuk Zainul Rijal ialah kes seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan lelaki lain dan beliau berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk satu deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah tidak sah.

Pada 25 Februaru lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 28 itu yang menyatakan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Zainul Rijal berkata, sebelum badan atau majlis khusus dibentuk untuk menyelesaikan masalah pertindanan antara undang-undang syariah dan sivil itu, mahkamah syariah perlu dinaik taraf supaya sama seperti mahkamah sivil iaitu mempunyai lima hierarki atau peringkat supaya kedua-duanya mempunyai kuasa yang serupa.

“Beberapa perbezaan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil menyebabkan segelintir pihak melihat mahkamah syariah seumpama sebuah tribunal sahaja. Itu tidak betul. Mahkamah syariah ada bidang kuasanya sendiri yang mahkamah sivil tidak boleh campur,” katanya.

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/03/04/badan-khusus-selesai-pertindanan-undang-undang-syariah-sivil-perlu-dibentuk/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo