– Oleh Wan Hafiz Wan Hamzah
Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah mengetuai lebih 500,000 petugas barisan hadapan untuk menerima suntikan vaksin COVID1-9 buatan syarikat Pfizer yang turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Secara tidak langsung, ia merupakan satu pembuktian bahawa segala teori konspirasi yang bergentayangan di media sosial mengenai vaksin COVID-19 ini, kononnya boleh menyebabkan kemudaratan kepada manusia, ternyata hanyalah semata-mata teori kosong tanpa fakta yang kukuh.
Adalah sesuatu yang amat malang bagi umat Islam, sekiranya kita mempercayai cerita-cerita teori konspirasi yang hanya berdasarkan sumber internet yang boleh diragui kesahihannya, sehingga kita mengenepikan penawar yang boleh melindungi nyawa dan kesihatan kita sendiri.
Apakah kita percaya kepada teori konspirasi yang mengarut, kononnya suntikan vaksin itu mengandungi mikrocip yang boleh mengawal pemikiran manusia, menyebabkan manusia menjadi seperti zombie dan membuatkan manusia lupa kepada Tuhannya?
Sedangkan realitinya hari ini, sudah puluhan ribu manusia yang sudah pun menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negara, bahkan di Malaysia sendiri pun sudah ada yang disuntik vaksin ini, namun mereka masih lagi berada dalam keadaan sihat dan tidak pula bertukar menjadi zombie yang dikawal pemikirannya, malah masih kekal terus beragama dan mempercayai Tuhannya.
Jika benar ada pihak yang mahu mengawal pemikiran manusia, tidak perlu kepada suntikan vaksin yang mengandungi mikro cip, tetapi sudah cukup untuk mereka menghantar penyanyi dan pelakon untuk membuat manusia lupa pada agama, lupa kepada Tuhannya.
Dan ini sudah pun terjadi di kalangan masyarakat kita, jauh lebih lama sebelum cerita vaksin dan pandemik ini berlaku.
Kita sebagai rakyat Malaysia, mengambil vaksin untuk mencegah penyakit bukanlah satu perkara baharu. Bahkan, kita sejak dari kecil sudah disuntik dengan pelbagai jenis vaksin bagi mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit tertentu.
Sebagai contohnya, dalam satu kajian kira-kira lima tahun lepas, Malaysia mencatatkan 150 kali ganda peningkatan tiga penyakit cegahan vaksin kanak-kanak iaitu difteria, measles dan pertussis berbanding 10 tahun yang lalu akibat ada ibu bapa yang tidak mahu anaknya divaksin.
Salah faham mengenai suntikan vaksin, dan dipengaruhi oleh maklumat salah, telah menyumbang kepada penambahan statistik jumlah penyakit yang dapat dicegah melalui pengambilan vaksin ini.
Kalau dilihat laporan-laporan akhbar atau sekeliling kita, banyak kita dapati ramai kanak di taska, di sekolah yang dijangkiti penyakit berjangkit seperti smallpox, diftheria dan lain-lain lagi akibat tidak mengambil suntikan vaksin.
Jadi, realitinya hari ini, vaksin sebagai pencegah kepada penyakit berjangkit yang digunakan oleh masyarakat dunia bagi melindungi umat manusia daripada terus dijangkiti virus, bukanlah satu perkara baharu.
Dan penggunaan vaksin sebagai penawar bagi melindungi nyawa dan kesihatan manusia daripada sebarang penyakit adalah satu usaha yang dituntut di dalam Islam itu sendiri.
Kerajaan Malaysia telah berusaha untuk melindungi rakyatnya dengan membelanjakan berbilion ringgit untuk mendapatkan vaksin yang mampu mencegah jangkitan virus COVID-19 ini untuk menyelamatkan nyawa dan mencegah kemudaratan dalam usaha mengembalikan kehidupan yang sejahtera seperti sebelum ini.
Sebanyak lebih 600 pusat vaksinasi telah disediakan kerajaan dan program Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa telahpun dilancarkan bagi memudahkan proses vaksinasi ini buat rakyat di seluruh negara. Pelbagai penerangan, kempen juga telah dijalankan untuk memberi kefahaman kepada rakyat berhubung kepentingan pengambil vaksin ini.
Justeru, rakyat di negara ini harus sedar dan faham, tidak ada mana-mana kerajaan yang mentadbir negara berdaulat seperti di Malaysia ini yang mahu bersekongkol dengan Dajjal, Freemason, Illuminati mahupun Yahudi untuk membunuh rakyat mereka sendiri, seperti dakwaan yang bertebaran di media sosial.
Disebalik segala dakwaan negatif para pendukung teori konspirasi yang disebarkan oleh golongan anti vaksin ini, realitinya majoriti rakyat di negara ini merasa lega dengan kehadiran vaksin COVID-19 ini, yang diyakini sebagai satu usaha untuk mencegah wabak ini daripada terus menjangkiti lebih ramai manusia di negara ini.
Tidak dapat dinafikan, terdapat alahan-alahan tertentu terhadap tubuh badan manusia yang disuntik vaksin tersebut, namun itu bukanlah alasan yang dapat mendokong kebenaran fakta-fakta teori konspirasi yang diuar-uarkan melalui media sosial.
Jika kita mengambil ubat antibiotik contohnya, ada juga yang tidak serasi dengan tubuh badan kita yang menyebabkan berlakunya kesan sampingan dan sebagainya, namun ia bukanlah alasan secara total untuk kita menolak penggunaan ubat antibiotik yang diberikan untuk menguatkan imunisasi tubuh badan kita.
Justeru, tidak usahlah kita sebagai rakyat Malaysia menjadi ragu-ragu tentang pengambil vaksin ini dengan mempercayai penyebaran dakyah tidak tepat, melampau dan tidak berpaksikan fakta yang tepat berhubung perkara ini.
Realitinya, mahu tidak mahu, percaya atau tidak, vaksin COVID-19 ini adalah sebagai salah satu usaha manusia untuk melindungi diri daripada terus terdedah kepada risiko jangkitan virus yang memudaratkan itu.
Rasullullah saw bersabda, tidak ada penyakit yang tidak ada penawarnya, kecuali mati, maka pengambilan vaksin ini adalah salah satu usaha kita sebagai penawar dan pencegah kepada virus COVID-19 ini, agar Allah memakbulkan doa kita untuk menghilangkan sepenuhnya virus ini dengan usaha yang telah kita lakukan ini.
Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/02/24/vaksin-antara-dajal-teori-konspirasi-dan-realiti/
Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/02/24/vaksin-antara-dajal-teori-konspirasi-dan-realiti/
No comments
Post a Comment