Responsive Ad Slot

Peristiwa 13 Mei: Kepalsuan Dakwaan Tommy Thomas Terdedah





1. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 27 bukunya): Rusuhan 13 Mei tidak berlaku secara spontan, tetapi dirancang terlebih dahulu.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam memoirnya yang bertajuk “Tan Chee Khoon: An Elder Statesman”, pada muka surat 114 dan 129-131, Dr Tan Chee Khoon menulis bahawa pemimpin-pemimpin bodoh dan sombong DAP, khususnya Goh Hock Guan yang melaungkan DAP akan membentuk kerajaan baru di Selangor, sebagai punca kepada memuncaknya situasi tegang di kalangan orang-orang Melayu. Di dalam bukunya yang bertajuk “The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia”, pada muka surat 20, Dr Goh Cheng Teik juga menulis bahawa, bila dimaklumkan yang Perlembagaan Negeri Selangor tidak membolehkan seorang bukan Melayu menjadi Menteri Besar, Goh Hock Guan berkata peguam beliau tidak menemui larangan ini.

Di dalam memoir Tunku Abdul Rahman yang bertajuk “Tunku: A Pictorial Biography (1957-1987)”, pada muka surat 83, Mubin Sheppard menulis bahawa adalah amat jelas yang kekejaman-kekejaman 13 Mei adalah akibat langsung daripada dua perarakan penyokong-penyokong pembangkang pada 8 Mei dan 12 Mei 1969. Di dalam bukunya yang bertajuk “The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia”, pada muka surat 18, 21 dan 39, Dr Goh Cheng Teik juga menulis bahawa Rusuhan 13 Mei berpunca daripada hinaan dan cercaan aktivis dan simpatisan parti-parti pembangkang kepada UMNO dan orang-orang Melayu kerana dikatakan sudah kalah di Selangor seperti 'Kapal layar bocor!', Melayu sudah jatuh!', 'Melayu sekarang tak ada kuasa lagi!', 'Kuala Lumpur sekarang Cina punya!' dan 'Melayu boleh balik kampung!'. Di dalam surat beliau kepada Tunku Abdul Rahman pada 17 Jun 1969, Tun Dr Mahathir juga menulis mengenai “orang-orang Cina dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei (1969) kepada orang Melayu” dan mengenai “kalau Tunku biasa diludah di muka, dimaki dan ditunjuk kemaluan, bolehlah Tunku faham perasaan orang Melayu.”

2. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Kempen-kempen pilihan raya dari Mac ke Mei 1969 tidaklah lebih hangat berbanding pilihan raya-pilihan raya sebelumnya.
Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam tesis sarjana beliau yang bertajuk “PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982”, pada muka surat 220, Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff menulis bahawa kempen-kempen Pilihan Raya Umum 1969 paling hangat pernah berlaku ekoran pengaruh slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang ditinggalkan oleh PAP yang dibawa khususnya oleh sebuah parti baru bernama DAP melalui manifesto bertajuk "Our Triple Objective: Towards A Malaysian Malaysia" yang di antara lainnya menjanjikan pemberian hak politik, ekonomi dan sosial yang sama kepada semua rakyat dan pemberian taraf rasmi kepada bahasa-bahasa Cina, Tamil dan Inggeris, selain oleh PPP melalui manifesto bertajuk "Malaysia for Malaysians".
Di dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat pada 3 Mac 1971, Tun Dr Ismail menyebut bahawa Ahli-Ahli Parlimen DAP adalah “ruthless, tricky, smooth, suave, slick political rogues, who use the "sensitive issues" to trick the gullible public into voting them into this House, who use the sensitive issues to assassinate political opponents.” Di dalam ucapan sama, Tun Dr Ismail mengungkap kembali petikan pelbagai kenyataan sensitif Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, sewaktu berkempen, antaranya yang menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan yang didakwa tidak mengiktiraf kedudukan istimewa Melayu, termasuklah yang berbunyi “I say again and again, the Alliance Government is a Malay Government, anti-Chinese, anti-Indian, anti all other races because it is based on the concept that the country belongs to the Malays and the others here-the Chinese, the ndians, the non-Malays-are all on 'tumpang'.”

3. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Tun Razak merancang Rusuhan 13 Mei kerana tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam memoirnya yang bertajuk “Drifting Into Politics”, pada muka surat 78, Tun Dr Ismail menulis bahawa Tun Razak adalah seorang ahli politik yang sentiasa pintar dan sabar (an astute and patient politician).

Di dalam bukunya yang bertajuk “The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia”, pada muka surat 32, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa Tun Razak menyebelahi Tunku Abdul Rahman bila Tun Dr Mahathir menekan Tunku Abdul Rahman supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran Rusuhan 13 Mei.

4. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Tun Razak merancang Rusuhan 13 Mei kerana beliau diberitahu bahawa beliau mengidap leukaemia dan hanya boleh hidup lima ke enam tahun sahaja.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam memoirnya yang bertajuk “Drifting Into Politics”, pada muka surat 75, Tun Dr Ismail menulis bahawa Tun Razak hanya diberitahu (oleh Dr MacPherson) bahawa beliau mengidap leukaemia hanya selepas Tun Dr Ismail sendiri diketahui menghidap penyakit jantung pada September 1969.

Di dalam memoir Tun Razak yang bertajuk “Tun Razak: His Life and Times”, pada muka surat 246, William Shaw menulis bahawa Tun Razak hanya diberitahu bahawa beliau hanya boleh hidup tidak lebih daripada enam tahun sahaja pada tahun 1970.

5. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Tidak dapat dipastikan apakah Yang di-Pertuan Agong benar-benar menandatangani Proklamasi Darurat yang diisytiharkan.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam tesis sarjana beliau yang bertajuk “PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982”, pada muka surat 224-225, Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff menulis bahawa ekoran daripada rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 ini, satu perisytiharan darurat telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Warta Kerajaan Persekutuan, 15 Mei 1969, P.U. (A) 145, yang diikuti oleh pembuatan satu ordinan bertajuk Ordinan No. 2 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1969, melalui Warta Kerajaan Persekutuan, 17 Mei 1969, P.U. (A) 149, yang memperuntukkan perwakilan kuasa pemerintah bagi Malaysia kepada seorang Pengarah Gerakan yang dibantu oleh suatu majlis yang akan dinamakan Majlis Gerakan Negara di mana Seksyen 2(2) Ordinan No. 2 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1969 ini memperuntukkan bahawa "Pengarah Gerakan…hendaklah bertindak dengan mengikut nasihat Perdana Menteri…".

6. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Datuk Harun terlibat secara langsung atau membantu atau bersubahat dengan perusuh-perusuh di mana kediaman beliau digunakan untuk menghimpun dan merangsang mereka keluar membunuh dan mengganas.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam bukunya yang bertajuk “The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia”, pada muka surat 20-22, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa perarakan balas orang-orang Melayu Selangor yang dijadualkan berlangsung pada jam 7.30 malam 13 Mei 1969 adalah dibuat atas permintaan mereka, dan mendapat kebenaran daripada pihak polis, yang mahu menunjukkan kepada parti-parti pembangkang bahawa UMNO juga mempunyai sebab untuk merayakan keputusan pilihan raya itu kerana mereka sebenarnya tidak kalah di Selangor (kedudukan kerusi terikat 14-14). Di dalam buku sama, Dr Goh Cheng Teik juga menulis bahawa perarakan balas ini adalah bagi membalas perayaan-perayaan kemenangan parti-parti pembangkang, termasuklah kedatangan penyokong-penyokong DAP dan GERAKAN ke rumah Datuk Harun untuk mendesak beliau keluar daripada kediaman rasmi Menteri Besar setelah beliau didakwa kalah pilihan raya.

Di dalam bukunya yang bertajuk “The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia”, pada muka surat 22, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa bila orang-orang Melayu Selangor mahu merusuh Datuk Harun merayu mereka untuk bertenang. Di dalam bukunya yang bertajuk “Power Sharing In A Divided Nation”, pada muka surat 103, Dr Johan Saravanamuttu juga memetik Karl Von Vorys, penulis buku “Democracy Without Consensus: Communalism and Political Stability in Malaysia” yang mendakwa melihat sendiri Peristiwa 13 Mei, sebagai menyebut bahawa Datuk Harun memainkan peranan positif untuk cuba menyekat rusuhan dari berlaku.

7. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 29 bukunya): Datuk Harun dilantik semula dengan cepat-cepat dan secara senyap-senyap sebagai Menteri Besar Selangor walaupun beliau tidak mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam bukunya yang bertajuk “The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia”, pada muka surat 38, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa pemulihan semula demokrasi, serta perlantikan Datuk Harun sebagai Menteri Besar Selangor, hanya berlaku setelah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari GERAKAN, Chou Yew Koh, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari BEBAS, menyeberang ke arah Perikatan sekali gus membolehkan Perikatan mengatasi parti-parti pembangkang dengan kedudukan 16-12.

8. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 29 bukunya): Tidak terdapat sebarang siasatan mengenai mengapa atau bagaimana Rusuhan 13 Mei berlaku.

Fakta sebenar yang berlaku: Siasatan mengenai mengapa atau bagaimana Rusuhan 13 Mei berlaku telah dibuat oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang menerbitkan laporan rasminya yang bertajuk “Tragedi 13 Mei” di mana di dalam pengantarnya Tun Razak selaku Pengarah Gerakan Negara menulis pada muka surat vii bahawa “laporan ini telah dibuat dengan penuh kesedaran bahawa perkara-perkara yang penting tidak boleh lagi ‘disapu ke bawah tikar’ dan bahawa kenyataan-kenyataan 13 Mei mestilah disebarkan dengan luas kepada orang ramai.”

9. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 29 bukunya): Tidak terdapat mana-mana orang yang didakwa di mahkamah atas jenayah yang dikaitkan dengan Rusuhan 13 Mei.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam laporan rasminya yang bertajuk “Tragedi 13 Mei”, pada muka surat 101, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mencatatkan jumlah orang yang didakwa di mahkamah ekoran Peristiwa 13 Mei seperti pada 31 Julai 1969 adalah 5,561 orang. Di dalam laporan rasmi sama, pada muka surat 102, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mencatatkan jumlah orang yang akan didakwa di mahkamah kerana kesalahan membunuh dan membakar ekoran Peristiwa 13 Mei seperti pada 31 Julai 1969 adalah 45 orang.

10. Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 30-31 bukunya): Rusuhan 13 Mei adalah satu insiden kecil yang terpencil di Kuala Lumpur di mana tiada sebarang kejadian buruk berlaku di luar Kuala Lumpur.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam tesis doktor falsafah beliau yang bertajuk “The Chinese In Peninsular Malaysia: A Study Of Race Relations In A Plural Society”, pada muka surat 304, Dr Ting Chew Peh menulis: “May 13, 1969 was a tragic day for Malaysia. On that day communal violence broke out in Kuala Lumpur, Malaysia's capital. Initially, the riots were confined to the capital city and its vicinity. Subsequently, however, they spread to other states, notably the west coast states of Penang, Perak, Malacca and Negri Sembilan. Serious rioting, arson and murder continued for several days before they were finally brought under control.”

Di dalam laporan rasminya yang bertajuk “Tragedi 13 Mei”, pada muka surat 97, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mencatatkan jumlah kematian ekoran Peristiwa 13 Mei seperti pada 30 Jun 1969 adalah 196 orang, iaitu 172 di Selangor, 11 di Perak, 7 di Melaka, 4 di Negeri Sembilan, 1 di Pulau Pinang dan 1 di Terengganu.

Sungguh pelik bagaimana seorang peguam terkenal yang pernah menjawat jawatan Peguam Negara boleh menulis secara semberono tanpa mengalaskan dakwaan-dakwaan beliau kepada mana-mana sumber sahih, apa lagi bila beliau sendiri menyebut bahawa sewaktu Peristiwa 13 Mei berlaku beliau baru berumur 16 tahun.

Dakwaan-dakwaan liar beliau terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tun Razak dan Datuk Harun khususnya adalah amat tidak bertanggungjawab sekali, begitu juga dengan dakwaan-dakwaan lain beliau yang mungkin boleh menimbulkan ketegangan kaum.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo