Responsive Ad Slot

Buku Tommy Thomas hina institusi perundangan - AG

Buku memoir yang ditulis bekas peguam negara, Tommy Thomas jelas merupakan penghinaan terhadap institusi perundangan di negara ini, kata penggantinya, Idris Harun.

"Kandungan buku ini telah memberikan impak yang negatif khususnya daripada kaca mata orang luar, dan ia secara langsung telah memberikan kesan kepada moral dan semangat pegawai undang-undang.

"Selain itu, pada hemat saya, ia merupakan satu penghinaan yang ketara kepada institusi perundangan kita, yang amat kita hormati dan sanjungi," tulisnya dalam satu surat yang dihantar kepada pegawai undang-undang dalam Jabatan Peguam negara.

Idris berkata selama bertugas selama hampir 35 tahun dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan dan akhirnya sebagai peguam negara, dia tiada keraguan mengenai kemampuan pegawai undang-undang dalam menjalankan tugas mereka.

“Malah saya amat berbangga, sejak buku tersebut dikeluarkan, pegawai jabatan ini telah memperoleh keputusan kes berprofil tinggi yang memihak kepada kerajaan.

"Ini jelas menunjukkan kebolehan dan keupayaan pegawai undang-undang dalam mengendalikan kes-kes mahkamah adalah setanding dengan, malah lebih baik daripada peguam swasta," katanya yang meminta mereka meneruskan prestasi cemerlang.

Idrus berkata, dia tidak terpengaruh dengan isi kandungan buku itu, yang menurutnya jelas menunjukkan "pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam, terutama Jabatan Peguam Negara dan fungsi peguam negara itu sendiri”.

Ketika dihubungi, Idrus mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa surat itu sahih dan telah dikeluarkan kepada rakan-rakannya.

Thomas baru-baru ini mengeluarkan buku yang diterbitkan oleh penerbit Gerakbudaya.

Antara lain, Thomas menulis bahawa peguam dari Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai komitmen, semangat dan dorongan untuk berjaya yang dimiliki peguam swasta.

"Peguam sektor awam mempunyai sikap perkhidmatan awam. Mereka adalah penjawat awam, memperoleh pendapatan bulanan tetap, dan menunggu pencen setelah bersara.

"Tidak ada insentif untuk membezakan diri mereka," katanya.

Semalam, bekas peguam cara III, Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis terhadap Thomas berhubung kenyataan yang dibuat terhadapnya dalam buku itu.

Thomas mendakwa dia kurang percaya kepada Hanafiah yang menurutnya lebih selesa dengan tugas pentadbiran, manakala Hanafiah pula mendakwa Thomas memfitnahnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo