Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH
4 FEB: Malaysia dan Indonesia harus mewujudkan strategi mampan dan sesuai dalam memastikan pasaran dan harga kelapa sawit yang merupakan sumber utama ekonomi buat kedua buah negara itu tidak terjejas.
Profesor Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah berkata pertemuan di antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini dilihat mampu menangani tindakan boikot oleh beberapa negara terhadap minyak sawit.
“Kedua-dua negara adalah pengeluar terbesar (sawit) dan kini ada permasalahan dari segi duti yang dikenakan tinggi dan tinggi yang sebagai contoh India menggenakan duti tersebut yang begitu tinggi berbanding minyak soya dan matahari.
“Jadi, perbincangan harus dilakukan dan harus membuat “counter narrative” kepada apa yang dituduh oleh negara-negara Eropah dan negara-negara lain yang menyatakan sawit tidak sihat. Mereka perlu bekerjasama dalam membuat promosi dan tindakan agar isu ini dapat ditangani sebaiknya,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini.
Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari bermula hari ini, bagi memenuhi undangan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Dalam pada itu, Mohd Kamarulnizam turut berpandangan isu ekonomi dan sumber tenaga kerja asing juga akan menjadi salah satu perbincangan bagi kedua buah negara di mana rakyat Indonesia masih merupakan sumber tenaga pekerja asing utama buat Malaysia berbanding negara-negara lain seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Nepal.
“Perlu ada mekanisme yang perlu dikuatkan yang mana mereka telah bincangkan di peringkat jawatankuasa dan memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak yang mempunyai beberapa mekanisma tentang tenaga kerja dan secara tidak langsung mampu membincangkan kerjasama di kawasan sempadan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Kamarulnizam berkata pertemuan itu juga membolehkan Perdana Menteri memfokuskan sumbangan dan peranan Malaysia terhadap perancangan Indonesia dalam menjadikan Kalimantan sebagai ibu negaranya.
Beliau memberitahu, Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak sememangnya mempunyai kepentingan serta kesan positif dalam pemindahan ibu negara tersebut di mana banyak projek-projek pembangunan di kawasan Kalimantan yang mampu menggunakan tenaga kerja dan kepakaran rakyat Malaysia dalam membangunkan kawasan bandar-bandar baharu.
“Ini kerana banyak pengalaman kita dalam membangunkan bandar-bandar baharu seperti kita bangunkan Putrajaya dan bandar-bandar baharu lain. Jadi, kita boleh menjadi sebahagian dalam pelan pembangunan ibu negara Indonesia di Kalimantan.
“Mungkin boleh dicadangkan satu jalur perhubungan baharu antara ibu negara Indonesia ke kawasan Sabah dan Sarawak dan ini dilihat mampu merealisasikan Segi Tiga Emas Borneo yang akan menghubungkan Brunei, Malaysia dan Filipina,” katanya.
No comments
Post a Comment