Jenayah Perancis Terhadap Algeria

Mutakhir ini, kedengaran begitu lantang sekali suara-suara dari negara Barat yang kononnya menjadi pejuang menentang kezaliman dan membela hak asasi manusia di seluruh pelusuk dunia.

Namun yang menyedihkan, negara - negara Barat acapkali menuding jari terhadap Islam dengan pelbagai label dan gelaran yang jahat dengan alasan tamadun Baratlah yang paling berperikemanusian dan sepatutnya menjadi kiblat kepada seluruh umat manusia.

Sedarkah kita bahawa tamadun Barat yang dibanggakan pada hari ini tertegak di atas jutaan nyawa manusia yang telah dibunuh dan diperhambakan. Sejarah tidak akan lupakan apa yang telah dilakukan oleh penjajah British, Perancis, Belanda, Sepanyol dan lain-lain lagi terhadap negara-negara Islam yang dijajah.

Selain daripada dibunuh dan diperhambakan, terdapat jutaan lagi umat Islam yang telah lari meninggalkan tanah air mereka, harta benda dirampas, diseksa, dicabul kehormatan mereka malah ada yang diseksa sehingga tercabut nyawa mereka.

Sebenarnya banyak negara Dunia Islam yang menjadi mangsa kepada negara - negara Barat dan hakikatnya, masih terdapat lagi negara Dunia Islam yang masih dijajah sebagai contohnya ialah Palestin walau secara teorinya Palestin adalah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Namun di dalam banyak negara Islam yang menjadi mangsa kepada Barat, negara yang menjadi tumpuan utama Eropah saat ini terutamanya Perancis adalah Algeria, sebuah negara Islam yang telah dijajah oleh Perancis selama 132 tahun.

Algeria adalah negara Islam kedua terbesar dari sudut geografinya selepas Kazakhstan dan terletak di Utara benua Afrika. Kedudukannya dalam peta negara Arab pula, menjadi sebahagian daripada Al-Maghrib Al-Arabi atau wilayah Barat negara Arab yang merangkumi negara Maghribi dan Tunisia.

Sebelum kedatangan Islam, wilayah ini berada di bawah taklukan Rome Byzantine sehinggalah fajar Islam mula sampai di zaman Saidina Umar Al-Khattab dan mengambil masa yang lama untuk bertapak kerana latar belakang permukaan buminya yang sukar untuk ditembusi di samping kepelbagaian kabilah dan anutan agama yang begitu kompleks.

Kebanyakan penduduknya adalah daripada suku Barbar yang terkenal dengan sikap keras namun mereka berjaya dilenturkan oleh Islam sehingga keseluruhannya memeluk Islam melainkan sejumlah kecil yang menganut agama Kristian dan lain-lain lagi.

Dalam sejarah moden, Algeria terkenal dengan gelaran 'negara sejuta syahid' kerana perjuangan rakyatnya menentang penjajahan Perancis sehingga mengorbankan lebih sejuta rakyatnya di mana akhirnya mereka berjaya menghalau keluar penjajah Perancis dari tanah air mereka.

Algeria telah dijajah oleh Perancis sejak dari tahun 1830 sehinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Bukan sahaja kekayaannya dikaut dan dirompak kerana begitulah tabiat penjajah bahkan jatidiri rakyatnya mahu dicabut supaya tidak ada lagi jatidiri rakyat Algeria sebagai bangsa Arab Muslim.

Para ulama ditahan, sekolah-sekolah agama ditutup, bahasa Arab dilarang untuk diajar, jatidiri Islam dicabut dan gerakan Kristianisasi dikembangkan. Penjajah Perancis memberikan tanah dan bangunan kepada bangsa Perancis dan konco-konconya. Rakyat Algeria dihalau dan dihambat ke pendalaman, samalah dengan apa yang dilakukan oleh Zionis Yahudi terhadap umat Islam Palestin.

Gerakan menentang penjajah dimulakan oleh para ulama dan pejuang-pejuang anti penjajahan. Pada tahun 1832, Al-Amir Abdel Qader memulakan gerakan jihad terhadap penjajahan Perancis dengan perang gerila di mana mereka menentang penjajah yang mempunyai pelbagai kelengkapan ketenteraan yang canggih dan strategi yang tersusun.

Pihak Perancis berjaya menanganinya dengan pelbagai bentuk kekerasan dan kekejaman sehingga mereka berjaya menahan Al-Amir Abdel Qader pada tahun 1847.

Gerakan jihad tidak dapat dipadamkan malah perjuangan diteruskan silih berganti oleh generasi selepas daripada itu sehinggalah pada tahun 1931, munculnya seorang tokoh ulama dan pejuang iaitu Abdel Hamid bin Badis yang mengambil pendekatan mentarbiah anak-anak muda dengan tarbiyah Islam dan meniupkan semangat jihad dalam diri mereka untuk menentang penjajah Perancis.

Slogannya yang masyhur dikenang sehingga ke hari ini adalah :
الإسلام ديننا و العربية لغتنا والجزائر وطننا
Islam adalah agama kami, bahasa Arab adalah bahasa kami dan Algeria adalah watan kami

Hasil daripada tarbiah yang panjang ini maka lahirlah kesedaran yang menyeluruh di mana akhirnya mencetuskan revolusi pada tahun 1954 sehinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Perjuangan yang panjang dan berliku ini telah mengorbankan lebih dari sejuta rakyat Algeria dan mereka sekali-kali tidak tunduk,mengalah dan mengikut telunjuk penjajah.

Jenayah Kemanusian Perancis Terhadap Algeria.

Akibat didesak oleh pemimpin dan rakyat Algeria supaya Kerajaan Perancis memohon maaf di atas tindakan lampaunya ketika menjajah Algeria, Presiden Perancis Emmanuel Macron tampil membuat kenyataan pada awal tahun ini di mana beliau mahupun Kerajaan Perancis enggan memohon maaf di atas tindakan tersebut namun mengakui realiti kekejaman yang berlaku ketika zaman penjajahan tersebut.

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan rakyat Algeria di mana sejak tahun lalu Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune telah menuntut permohonan maaf secara rasmi dari Perancis di atas kekejaman dan kezaliman yang dilakukannya ketika penjajahan ke atas Algeria.

Ahli Sejarah Perancis, Benjamin Stora dalam laporannya yang diserahkan kepada Emmanuel Macron pada awal tahun ini berkaitan kekejaman dan kezaliman Perancis ketika menjajah Algeria telah mencatatkan kekejaman Perancis terutamanya ketika perang Perancis - Algeria pada tahun 1954 - 1962.

Walaupun terdapat suara tidak puas hati berkenaan laporan tersebut yang dianggap tidak munasabah kerana tidak memperincikan kekejaman Perancis sejak mula menjajah Algeria dan keabsahan Benjamin Stora sebagai layak untuk memperincikan laporan tersebut, namun dalam laporan tersebut jelas menunjukkan bahawa ketika berlaku perang Perancis - Algeria dari tahun 1954 - 1962, berlakunya penindasan, kezaliman dan kekejaman Perancis ketika menjajah Algeria.

Sebagai contoh ialah peristiwa yang digelar “ Setif and Guelma Massacre “yang berlaku di wilayah Setif, timur Algeria pada tahun 1945 di mana pihak keselamatan Perancis dan pendatang Perancis yang bermastautin di wilayah tersebut menyerang dan membunuh penduduk Islam di kawasan tersebut yang dianggarkan berjumlah di antara 6,000 - 30,000 orang.

17 Oktober 1961, puluhan ribu imigran Algeria dan keluarga mereka mengadakan demonstrasi aman di Paris menuntut kerajaan Perancis memberikan kemerdekaan kepada Algeria di samping memprotes keadaan kehidupan mereka yang teruk di Perancis.

Protes aman tersebut bertukar menjadi kekacauan apabila pihak keselamatan Perancis mula menyuraikan imigran - imigran Algeria dan mengejar mereka hingga ke Sungai Seine. Lebih kurang 600 orang jatuh ke dalam sungai tersebut dan dibiarkan lemas begitu sahaja oleh pihak polis.

Banyak lagi kisah - kisah duka yang dilalui oleh rakyat Algeria ketika penjajahan Perancis seperti Battle Of Philippeville, Battle of Algiers dan banyak lagi peperangan yang terpaksa ditempuhi rakyat Algeria sehingga Algeria mencapai kemerdekaan.

Jenayah dan Pelanggaran Undang-Undang Antarabangsa.

Sepanjang tempoh penjajahan Perancis ke atad Algeria banyak pelanggaran undang - undang antarabangsa telah berlaku, antaranyadalam tempoh antara 1960 - 1967, Kerajaan Perancis telah menjalankan ujian nuklear sebanyak 17 kali di Algeria iaitu ujian di atmosfera dan bawah tanah di wilayah Reggane dan Hoggar yang berdekatan dengan gurun Sahara.

Namun begitu dilaporkan, ujian nuklear tersebut diteruskan dengan memberikan kebenaran secara sulit melakukannya di wilayah Reggane oleh Presiden Algeria Chadli Bendjedid sehingga tahun 1986.

Walaupun ujian nuklear tersebut telah ditamatkan sejak sekian lama tetapi sisa radioaktif masih lagi terdapat di kawasan persekitaran tapak ujian nuklear tersebut samada di permukaan bumi mahupun di bawah tanah.

Dalam laporan kepada Dewan Senat Perancis pada Disember 1997, ketika kerajaan Perancis menyerahkan kembali kepada Algeria tapak ujian nuklear, tiada satu pun laporan menyebut tentang prosedur mahupun keadah memantau radioaktif di kawasan tapak ujian tersebut.

Menurut laporan itu lagi, polisi Perancis sejak mula menjalankan ujian di tapak nuklear tersebut adalah kesemua sisa radioaktif hendaklah ditanam dengan pasir di kawasan tersebut namun bahan radiokatif yang terlarut ke atas kawasan sekitar seperti pasir, batu - batuan dan tumbuh - tumbuhan ditinggalkan di tempat terbuka seterusnya membahayakan penduduk di kawasan sekitar.

Pakar alam sekitar dan radiasi menggangarkan sekitar 42,000 rakyat Algeria terbunuh dan ribuan yang lain menderita akibat kesan radiasi radioaktif akibat daripada ujian nuklear tersebut.

Oleh itu, di samping menuntut permohonan maaf di atas kezaliman dan kekejaman ketika penjajahan, Algeria juga menuntut Perancis membayar gantirugi kepada mangsa - mangsa dan keluarga rakyat Algeria yang menjadi mangsa kerakusan Perancis yang menjalan ujian nuklear tanpa batasan dan sikap perikemanusiaan.

Itu kisah Algeria, sebuah negara Dunia Islam yang menderita akibat kezaliman dan kekejaman Perancis ketika dijajah. Saya percaya banyak lagi kisah - kisah pilu negara - negara Dunia Islam sewaktu mereka dijajah termasuk Malaysia, tanah air kita yang tercinta ini.

Rata - rata negara Dunia Islam ketika perang dunia pertama mahupun kedua berada di bawah penjajahan impirealis Barat dan ketika itu negara - negara Dunia Islam berada dalam keadaan berpecah - belah akibat dibahagi - bahagikan oleh Barat.

Saat ini, majoriti negara Dunia Islam telah merdeka serta mempunyai kekuatannya sendiri baik dari sudut ekonomi, ketenteraan dan lain - lainnya lagi namun keadaan perpecahannya saat ini lebih buruk daripada ketika berlangsungnya perang dunia pertama mahupun kedua.

Perpecahan ketika ini benar - benar menampakkan kelemahan Dunia Islam dan diambil peluang oleh musuh - musuh Islam untuk memburukkan lagi keadaan. Sampai bila kelemahan ini akan berterusan ?

Selagimana umat dan Dunia Islam tidak sedar bahawa kekuatan Islam adalah terletak kepada penyatuan dan perpaduan, selagi itulah umat dan Dunia Islam akan terus lemah. Selagimana umat dan Dunia Islam tidak sedar bahawa kekuatan Islam terletak kepada ajaran Islam yang sebenar yang berpandukan Al Quran dan Hadis Rasullullah SAW, selagi itulah umat dan Dunia Islam terkulai layu.

Semoga umat dan Dunia Islam diberikan kekuatan seterusnya dirahmati Allah SWT.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post