NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Implikasi Pendemik Covid-19 ke Atas Kesihatan Mental Kanak-kanak

GEORGE TOWN: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah mengubah corak kehidupan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak yang turut menerima impak tersendiri.

Virus yang menyerang manusia secara senyap itu turut memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan kesihatan mental seseorang termasuk kanak-kanak, yang terpaksa mengubah gaya kehidupan yang dulunya bebas ke sana ke mari bermain bersama rakan sebaya kepada kurangnya pergerakan dan ‘terkurung’ di rumah.

Menurut Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Dr Syed Mohamad Syed Abdullah, pandemik Covid-19 menyaksikan ramai terkesan dengan perubahan itu dan terpaksa melalui kesukaran dalam proses penyesuaian sepanjang pandemik itu.

Masalah gangguan mental dalam kalangan kanak-kanak bukan suatu mitos atau perkara yang remeh dan isu itu semakin mencuri perhatian apabila berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas dan maklum balas menunjukkan ramai kanak-kanak yang terkesan secara mental dan emosi apabila rutin harian mereka terganggu.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019, hampir setengah juta kanak-kanak dikesan berdepan dengan masalah mental. Apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020, fenomena ini dijangka memburukkan lagi keadaan dengan bertambahnya maklum balas negatif terhadap gangguan mental kanak-kanak seperti stres dengan pembelajaran dalam talian dan ‘Demam Kabin’,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Batasan pergerakan

Akhbar juga melaporkan bahawa kes penderaan mental dan seksual terhadap kanak-kanak didapati meningkat sepanjang pelaksanaan PKP. Justeru ibu bapa dan masyarakat perlu menyedari bahawa gangguan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak sedang berlaku dan akan terus meningkat sekiranya tiada intervensi atau rawatan bagi membantu mereka.

“Kanak-kanak adalah golongan yang mudah terjejas dari segi emosi dan tingkah laku mereka kerana fitrah mereka yang masih mentah dalam mendepani cabaran kehidupan. Keupayaan kanak-kanak untuk menyerap dan menguruskan tekanan tidak sama seperti orang dewasa.

Dr Syed Mohamad berkata, kefahaman kanak-kanak terhadap batasan pergerakan dan keperluan penyesuaian normal baharu ini juga berbeza antara satu sama lain bergantung kepada tahap pengetahuan dan kematangan mereka.

Kefahaman ini juga mempengaruhi kesediaan mereka untuk berhadapan dengan norma dan normal baharu dalam kehidupan. Mereka mungkin mengetahui bahaya Covid-19 yang berada di luar sana dan tidak boleh lagi bebas keluar rumah seperti sebelum ini.

“Pada pengamatan saya, pelaksanaan PKP atau pergerakan yang terbatas ini sekurang-kurangnya memberi dua impak besar dalam rutin kebiasaan kanak-kanak iaitu keupayaan pembelajaran dan perkembangan interpersonal (sosial) mereka. Meskipun belum ada kajian yang menyeluruh terhadap kesan PKP terhadap kesihatan mental kanak-kanak, namun maklum balas awal yang diterima melalui sikap dan tingkah laku mereka menunjukkan bahawa golongan ini juga terkesan dengan pelaksanaan PKP.

Antara aspek yang kerap diperkatakan adalah tindak balas dan penerimaan kanak-kanak terhadap pembelajaran dalam talian. Isu pembelajaran dalam talian bukan sahaja memberi tekanan kepada kanak-kanak tetapi juga kepada ibu bapa yang gusar dan bimbang terhadap senario itu terutama menjelang peperiksaan.

“Kanak-kanak juga mengalami perubahan dari segi corak pergaulan mereka dengan rakan sebaya. Hal ini boleh menjejaskan kemahiran interpersonal atau keterampilan sosial mereka jika berterusan dalam tempoh yang lama. Kedua-dua aspek ini boleh mempengaruhi kesihatan mental kanak-kanak,” jelasnya.

Demam kabin

Mengulas lanjut berhubung kegiatan kanak-kanak yang tidak lagi bebas seperti sebelumnya yang turut memberi pengaruh kepada keadaan mental hingga boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak menjadi murung atau bertindak di luar kawalan, Dr Syed Mohamad berkata setiap individu akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu perubahan.

“Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu perubahan pula berbeza antara individu. Golongan kanak-kanak melalui perubahan normal kehidupan ini dengan penuh cabaran. Sepanjang pelaksanaan PKP, kanak-kanak telah ‘terperangkap’ dalam situasi pergerakan yang terbatas untuk satu tempoh yang agak lama. Senario ini juga dikenali sebagai Cabin Fever atau ‘Demam Kabin’.

“Demam Kabin merujuk kepada situasi individu yang mengalami perubahan emosi akibat bosan atau rasa tidak seronok apabila terperangkap di satu tempat dalam tempoh yang agak lama. Senario ini menjelaskan bahawa apabila individu terkurung dalam satu tempat yang sama untuk satu tempoh yang panjang maka emosi negatif akan muncul sebagai tindak balas psikologi individu terhadap situasi itu,” katanya.

Justeru, Dr Syed Mohamad berkata, kanak-kanak yang terkurung dalam rumah sepanjang tempoh PKP adalah berisiko memberi reaksi negatif dari sudut emosi dan tingkah laku mereka sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Perkembangan interpersonal (sosial) ini diperoleh dengan banyak apabila mereka hadir ke sekolah dan menghabiskan masa lapang bersama rakan-rakan. Namun apabila mereka tidak lagi bebas seperti keadaan sebelumnya, maka hal ini pastinya memberi tekanan dan boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka. Perubahan emosi dan tingkah laku kanak-kanak boleh berlaku dalam pelbagai bentuk akibat keadaan mereka yang tidak lagi dibenarkan bebas.

“Kanak-kanak boleh mengalami perasaan takut, murung, sedih, stres, terlalu sensitif, bersikap apatetik dan keliru dengan perubahan yang berlaku apabila tidak lagi dapat menjalani aktiviti kebiasaan mereka seperti sebelum ini. Perubahan tingkah laku juga boleh berlaku seperti memberontak, tantrum, hiperaktif, argumentatif, destruktif, atau mengasingkan diri. Justeru, ibu bapa dan orang dewasa perlu sentiasa memantau perkembangan kanak-kanak ini sepanjang pelaksanaan PKP dan peka dengan simptom yang ditunjukkan,” katanya.

Pembelajaran dalam talian

Tidak dinafikan penularan Covid-19 yang masih tidak menunjukkan tanda reda memaksa murid untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian. Bukan mudah untuk melaksanakan sesi pembelajaran itu berikutan terdapat pelbagai masalah seperti capaian internet, ibu bapa bekerja (terpaksa menunggu malam untuk buat latihan sekolah) yang turut memberi tempias kepada mental kanak-kanak terbabit.

Menurut Dr Syed Mohamad, keperluan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak perlu diteruskan meskipun menggunakan kaedah yang pelbagai, yang antaranya dalam talian, bagi menggantikan pembelajaran secara bersemuka.

“Perubahan ini juga menyaksikan banyak isu yang timbul dari semasa ke semasa termasuklah masalah capaian internet yang tidak memuaskan dan ketiadaan alat peranti yang sesuai (seperti komputer dan telefon pintar). Hal ini pastinya menjadi lebih sukar kepada kanak-kanak disebabkan kekurangan sokongan pembelajaran dan dalam masa yang sama terpaksa membuat penyesuaian pembelajaran kaedah baharu sepanjang tempoh PKP.

“Jika kita perhatikan isu ini, ternyata memberi impak yang signifikan terhadap perkembangan kanak-kanak. Pada peringkat awal PKP sewaktu pembelajaran dalam talian diperkenalkan, ramai ibu bapa dan anak mula menyesuaikan diri dan membuat pelbagai perubahan rutin harian di rumah. Namun timbul pula isu sampingan apabila kini pembelajaran dalam talian menjadi satu normal baharu kepada kanak-kanak,” katanya.

Antara persoalan yang timbul adalah sejauh mana kanak-kanak boleh bertahan secara mental, emosi dan fizikal dengan kaedah pembelajaran dalam talian, lebih-lebih lagi apabila kemudahan internet dan peranti pembelajaran tidak tersedia lengkap.

“Semakin lama didapati ramai kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap pembelajaran dalam talian dan tidak lagi berminat dengan gerak kerja dalam talian ini. Bagi yang menghadapi peperiksaan pula, mereka dilihat agak tertekan apabila menyedari tahap kefahaman mereka terhadap pembelajaran adalah berbeza dengan pembelajaran secara bersemuka di dalam kelas. Hal ini secara langsung boleh mempengaruhi motivasi dan kemahiran belajar mereka.

“Jika perkara ini berterusan maka dikhuatiri hasil pembelajaran tidak dapat dicapai sepenuhnya. Justeru, kegusaran ibu bapa dan guru terhadap isu ini adalah berasas. Maka, tindakan segera perlu dibuat bagi memastikan sistem sokongan pembelajaran secara dalam talian diperkemaskan dan ditingkatkan dalam tempoh PKP ini,” jelasnya.

Sokongan ibu bapa

Jelas Dr Syed Mohamad lagi, pada tempoh sukar ini ibu bapa dan keluarga harus memainkan peranan penting dalam memastikan emosi anak sentiasa terkawal serta tidak memberontak, merasa bosan dan tidak obses kepada gajet.

“Hal ini menjadi cabaran besar bagi ibu bapa kerana kanak-kanak yang kerap bertukar rutin akan terganggu perkembangan emosi dan mental mereka.

“Lazimnya, kanak-kanak berasa tidak selamat apabila tiada rutin yang tetap (seperti perubahan kaedah belajar dan cara bersosial). Situasi ini boleh merangsang otak untuk menghasilkan respons yang menyebabkan kanak-kanak susah untuk belajar dan menyerap pembelajaran,” katanya.

Suasana normal baharu dalam kalangan kanak-kanak perlu dilaksanakan bagi membantu perkembangan mereka di mana ibu bapa disarankan untuk membantu anak menyusun rutin harian mereka dengan pelbagai aktiviti baharu yang sesuai dengan persekitaran.

“Bermula daripada menyusun jadual pembelajaran secara fleksibel sehinggalah aktiviti sukan dan rekreasi yang terkawal di dalam atau luar rumah. Kaedah ini boleh memberikan pilihan dan ruang kepada kanak-kanak untuk terus mengembangkan idea dan tenaga mereka kepada aktiviti yang sesuai. Setiap aktiviti pula sebaiknya mempunyai masa yang terhad bagi menghalang rasa bosan dan menjadikan kanak-kanak lebih responsif terhadap aktiviti yang dijalankan.

Himpunan aktiviti kreatif seperti memasak bersama, mencuci basikal sendiri, menanam bunga, menghias bilik, mengecat dinding, melukis, mewarna dan senamrobik dapat menghilangkan perasaan bosan atau gelisah kanak-kanak di samping mengelakkan pergantungan kepada gajet dan komputer semata-mata selain ibu bapa boleh membantu anak meneroka hobi baharu yang sesuai.

Ibu bapa juga boleh membantu perhubungan anak mereka bersama rakan sebaya melalui rangkaian media sosial untuk bermain atau bersembang secara maya, dengan kawalan had tertentu. Ibu bapa perlu kreatif dalam membantu anak menyusun normal baharu mereka bagi memastikan anak tidak terlalu berfikir ‘terperap’ di dalam rumah semata-mata tetapi juga mempunyai aktiviti yang seimbang bagi membantu perkembangan psikologi.

“Ibu bapa dan keluarga perlu membekalkan sokongan emosi yang rapat bersama kanak-kanak supaya mereka berasa dihargai. Dalam bahasa yang mudah dan ringkas kita rumuskan ini sebagai kasih sayang. Hubungan dan komunikasi yang baik antara kanak-kanak dan keluarga akan menjadi antara faktor pelindung utama kepada daya tahan dalam kalangan kanak-kanak.

“Bagi membantu kanak-kanak mengatasi tekanan demi tekanan dalam kehidupan, ibu bapa perlu mengenal pasti punca tekanan itu. Mereka perlu berkomunikasi secara mesra dan terbuka bagi menggalakkan kanak-kanak selesa meluahkan tekanan mereka,” katanya.

Selain itu, pihak KPM, sekolah dan guru diharap dapat mengemukakan satu pelan baharu yang lebih fleksibel bagi kanak-kanak meneruskan pembelajaran di rumah secara dalam talian atau bukan dalam talian di samping dapat meredakan tekanan yang dihadapi kanak-kanak,” katanya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo