NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu beri 1,600 tablet kepada pelajar miskin




KUALA TERENGGANU: Seramai 1,600 pelajar miskin di negeri ini bakal menerima tablet secara percuma menerusi insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2021 yang diumumkan hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian gajet itu akan disalurkan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri mulai minggu depan.

Di samping itu, katanya, semua pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang daripada RM2,500 berpeluang menikmati bantuan data internet bernilai RM100.

Menurutnya, seramai 81,000 asnaf di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pula bakal menerima bantuan bakul makanan diikuti insentif kuliah dalam talian kepada pendakwah yang terjejas serta tiada pendapatan tetap.

“Bantuan tunai RM100 turut diagihkan kepada sektor perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk tukang gunting rambut dan pekerja pusat cucian kereta yang dianggarkan melibatkan seramai 48,000.

“Kerajaan negeri sentiasa memahami denyut nadi rakyat yang terkesan akibat PKP 2.0 dan semoga insentif Berkat 2021 sebanyak RM19 juta ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad Samsuri, Berkat 2021 turut mengambil kira kebajikan 488 penggiat pelancongan industri pelancongan di negeri ini yang bakal menerima bantuan one-off antara RM250 hingga RM400.

Katanya, mereka termasuk pengayuh beca, pemandu bot penambang, kakitangan agensi pelancongan dan pengembaraan, pekerja rumah bot Tasik Kenyir, pemandu pelancong berdaftar serta pemandu teksi lapangan terbang manakala Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu pula menerima pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2020.

Katanya, antara insentif lain yang diperkenalkan ialah pembukaan operasi 20 Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) bagi kemudahan pelajar miskin dan bermasalah dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).- UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo