NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

CIMS 2021 Hasilkan Resolusi Para Ilmuan Gerakan Islam Tangani Konflik Ummah



Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 24 Februari 2021 – Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam Sosiaopolitik 2021 (CIMS 2021) yang diadakan hasil anjuran bersama Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bakal menghasilkan resolusi bagaimana para ilmuan gerakan Islam menangani konflik ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, persidangan itu mengetengahkan ulama haraki dan kontemporari menerusi kaedah pendekatan fiqh siasah yang khusus. Dengan menghubungkaitkan syariah dan realiti, seseorang itu mampu membezakan antara nas bersifat tetap dan mengikat sepanjang zaman dengan nas yang bersifat semasa (conditional) dan berubah-ubah aturan serta disesuaikan dengan keadaan dan waktu setempat.


“Ini adalah kerjasama persidangan yang bermanfaat sebagai platform ilmu yang mengetengahkan tokok-tokoh sosiopolitik rakan Islam sedunia seperti Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Prof. Dr. Ahmed al-Raissouni (United Kingdom), Temel Karamollaoğlu (Turki) dan Dr. H. Salim Segaf Al-Jufr (Indonesia),” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian CIMS 2021 hari ini.

Beliau berharap persidangan itu dapat merungkai fiqh siasah yang diaplikasikan oleh tokoh gerakan Islam di peringkat nasional dan atarabangsa.

“Pengalaman dan pandangan tokoh-tokoh ini seperti Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam mendepani cabaran politik sepanjang penglibatannya dari dahulu sehingga kini adalah wajar dimanfaatkan dan disampaikan kepada generasi kini dan seterusnya.

“Diharap segala lontaran idea dan perbincangan dalam persidngan ini berjaya menyuntik semangat perjuangan Islam dalam kalangan muslim, khususnya generasi muda,” katanya.

Sementara itu, menurut Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, persidangan dua hari yang diadakan melalui webinar itu menjadi platform perkongsian idea dan percambahan minda berkaitan penglibatan, pendekatan strategi, dan sumbangan tokoh-tokoh ulama dalam membantu menggerakkan sosiopolitik ummah.

“Semua elemen ini boleh diteladani oleh generasi masa kini dan masa hadapan. Perkongsian dalam persidangan ini juga diharapkan dapat membantu tokoh pimpinan gerakan Islam dalam mendepani isu global dan cabaran semasa, di samping memberi informasi kepada generasi hadapan untuk mengenali sosiopolitik Islam khususnya pada pendekatan sosiopolitik tokoh-tokoh Islam tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berharap perkongsian dan jaringan professional antara para pembentang dari dalam dan luar negara dapat dipertingkatkan dalam usaha untuk membina jalinan perkongsian ilmu yang holistik dan komprehensif.

“Semoga penganjuran CIMS 2021 dapat menjadi wadah medan ilmu dan membuka lembaran baharu untuk mengimarahkan budaya ilmu. Ini selaras dengan usaha UKM untuk menambah baik kajian berkaitan sosiopolitik Islam dan sumbangan tokoh gerakan Islam serta mempertingkat ketamadunannya yang sudah dipasak sekian lamanya,” ujarnya.

Bertemakan Ulama Penggerak Sosiopolitik Ummah, persidangan yang menghimpunkan ahli akademik, tokoh politik, badan bukan kerajaan (NGO), dan aktivis gerakan Islam, para penyelidik dan para pelajar dapat berkongsi ilmu dan perbincangan berkaitan politik Islam yang boleh dilihat daripada sudut hubungan antarabangsa, kemasyarakatan, ekonomi, dan pendidikan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo